fbpx

STPM 2023: Anak pencuci bangunan, pembantu kedai raih PNGK 4.00

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amsyar (kanan) dan ibunya, Mardiah hadir bersama di Kolej Tingkatan Enam Haji Zainal Abidin, George Town, hari ini.

GEORGE TOWN – Anak pencuci bangunan merupakan antara 70 pelajar cemerlang di negeri ini yang memperoleh 4A dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 dalam keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2023, yang diumumkan hari ini.

Bekas pelajar Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin, Amsyar Muawiyah Mohd. Sofi,20, berkata, melihat kegigihan ibunya, Mardiah Ismail, 47, yang memperoleh pendapatan RM1,500 sebulan menjadi perangsang untuknya mengubah nasib keluarga.

Menurutnya, dia bergelar anak yatim pada usia 16 tahun selepas ayahnya, Mohd. Sofi Salleh, 48, yang merupakan seorang pekerja kilang meninggal dunia secara mengejut empat tahun lalu.

“Selepas ayah meninggal dunia (tahun 2020) barulah mak saya bekerja sebagai pencuci bangunan di Mahkamah Pulau Pinang dan saya melihat mak bekerja keras untuk menyara saya dan adik berusia 18 tahun.

“Mak juga selalu pesan yang saya adalah harapan keluarga, jadi saya perlu berusaha membaiki nasib keluarga dengan belajar bersungguh-sungguh.

Jadi saya mahu hadiahkan keputusan cemerlang STPM hari ini kepada mak yang banyak memberi dorongan dan tidak putus berdoa untuk kejayaan saya,” katanya ketika ditemui di Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin, di sini hari ini.

Selain Amsyar, tujuh lagi pelajar Kolej Tingkatan Enam Haji Zainul Abidin mencatat keputusan cemerlang dengan memperoleh 4A dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 dalam keputusan STPM 2023.

Hadir menyerahkan keputusan cemerlang mereka ialah Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang, Roland @ Rozaidi Abu Hassan.

Menurut Amsyar yang mahu menjadi seorang guru, dia tidak mengikuti mana-mana kelas tuisyen dan hanya menumpukan perhatian di dalam kelas.

“Saya meluangkan masa setiap dua atau tiga jam sehari untuk mengulangkaji pelajaran dan sering mengingati pesanan mak bahawa pelajaran mampu mengubah nasib kami,” katanya.

Dalam pada itu, seorang lagi pelajar cemerlang STPM dari kolej tersebut yang memperoleh 4A dengan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00, Nur Fadzlina Thaulath, 20, berkata, keputusan cemerlang hari ini juga dihadiahkan khas kepada kedua ibu bapanya, Nabisha Abdul Jaleel, 47, Thaulath Darmenullansadee, 48.

Katanya, bapanya yang bekerja sebagai pembantu kedai di gerai roti canai di Jalan Gemas di sini adalah insan yang paling gembira selepas mendapat tahu dia memperoleh keputusan cemerlang dalam STPM. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI