PETALING JAYA – Mahu membantu pasangan sudah lama berkahwin mendapatkan zuriat, penyanyi Datuk Seri Siti Nurhaliza menawarkan tajaan kepada 20 pasangan yang layak untuk mencuba kaedah persenyawaan in-vitro (IVF).
Ujar Siti atau nama lengkapnya Siti Nurhaliza Taruddin, 45, peluang yang dibuka menerusi Yayasan Nurjiwa itu hanya memerlukan suami isteri mendaftar di platform badan amal terbabit sebelum melalui tapisan awal.
“Assalamualaikum, saya ingin berkongsikan berita gembira kepada semua pasangan yang telah lama mendirikan rumah tangga dan sedang berusaha mendapatkan cahaya mata.
“Kalian kini boleh memohon dalam program IVF Nurjiwa: Sempurnakan Sebuah Cinta dengan hanya penuhi kriteria diperlukan.
“Permohonan terhad kepada 20 pasangan sahaja. Selamat mencuba dan semoga impian anda semua jadi kenyataan,” ujarnya menerusi video dalam TikTok.
Semakan menerusi ruangan komen mendapati rata-rata netizen memuji usaha murni pelantun lagu Sehebat Matahari itu selain menyifatkan program tersebut sebagai sinar baharu dalam kehidupan pasangan kurang berkemampuan tetapi teringin memiliki zuriat.
“Terima kasih TokTi sudi berkongsi rezeki dengan kami yang kurang berkemampuan, IVF bukan murah, moga sentiasa berada dalam lindungan Allah. Awak memang insan berhati mulia TokTi,” komen netizen.
“Sebab itu dia sentiasa nombor satu. Selain berbakat, TokTi sentiasa rendah diri dan suka membantu golongan kurang bernasib baik, moga Allah kurniakan syurga di atas segala kebaikanmu,” demikian tulis seorang lagi pengikutnya.
Ini bukan kali pertama isteri kepada Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau Datuk K itu membantu orang ramai.
Sebelum ini, beliau pernah memberi sumbangan kepada pengamal media yang kurang bernasib baik atau berada dalam kesulitan.
Malah menerusi platform Yayasan Nurjiwa, Siti turut membantu lebih 10,000 rakyat Palestin setiap hari dengan menyalurkan bantuan perubatan dan makanan. – KOSMO! ONLINE.