fbpx

Siasat segera trend jual buah pinggang secara dalam talian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keratan akhbar Kosmo! mengenai laporan penjualan buah pinggang secara dalam talian.

PETALING JAYA – Persatuan Transplan Malaysia (MST) menggesa pihak Kementerian Kesihatan (KKM) untuk menjalankan siasatan dengan kadar segera berhubung trend mengiklankan jualan buah pinggan di media sosial.

MST dalam satu kenyataan berkata, pihaknya turut meminta KKM menyiasat sejauh mana perbuatan tersebut menjadi ikutan dalam kalangan rakyat Malaysia apabila ada yang menawarkan sebelah buah pinggang pada harga RM50,000 hingga RM200,000.

Ia susulan pendedahan dilaporkan Kosmo! menerusi laporan khas bersiri mengenai tindakan beberapa pengguna menawarkan buah pinggang mereka kepada mana-mana individu yang berminat terutama pesakit buah pinggang bagi menyelesaikan masalah kewangan dihadapi.

Tambah kenyataan itu, tindakan menjual buah pinggan secara dalam talian adalah suatu amalan yang tidak beretika selain berisiko wujudnya pasaran gelap berkaitan penjualan organ di negara ini.

“Penjualan organ adalah pelanggaran langsung Deklarasi Istanbul yang komited dipegang Malaysia. Pengisytiharan ini mengutuk sekeras-kerasnya pengkomersilan pemindahan organ dan menekankan kepentingan amalan beretika dalam pemindahan organ.

“Membenarkan penjualan organ bukan sahaja menjejaskan piawaian antarabangsa ini tetapi juga menimbulkan bahaya besar kepada masyarakat. Ia mengeksploitasi populasi yang terdedah, mengekalkan ketidaksamaan dan boleh membawa kepada komplikasi kesihatan yang teruk kepada kedua-dua penderma dan penerima.

“Dengan membenarkan amalan sebegitu, ia berisiko mewujudkan pasaran di mana nyawa manusia dikomersialkan sekali gus membawa kepada peningkatan pemerdagangan manusia dan amalan perubatan yang tidak beretika,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang kerani mendedahkan dia menjual sebelah buah pinggangnya pada harga RM100,000 demi untuk melangsaikan hutang bapa kandungnya dengan along.

Lelaki yang mahu dikenali sebagai Zurrad, 31, berkata, dia mengambil langkah berani mengiklankan organnya itu di laman Facebook kerana sudah tidak tahan dikejar ceti haram setiap hari pada Disember 2022.

Sementara itu, Kosmo! juga mendapati kegiatan haram membabitkan penjualan buah pinggang dikesan dalam satu kumpulan Facebook, Mencari Penderma Buah Pinggang di mana rata-rata penjual menawarkan organ masing-masing kepada pihak yang terdesak kerana terpaksa menunggu giliran terlalu lama untuk mendapatkan penderma organ ketika ini. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI