fbpx

Republikan desak Presiden Joe Biden letak jawatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BIDEN memberikan sokongan kepada Harris sebagai pengganti beliau dalam pilihan raya Presiden AS pada November ini. -- AGENSI

WASHINGTON – Pemimpin-pemimpin Parti Republikan mendesak Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden untuk meletak jawatan dan segera mengosongkan White House, lapor Perbadanan Penyiaran Britain (BBC) kelmarin.

Desakan tersebut disuarakan selepas Biden membuat keputusan mengejut kelmarin untuk menarik diri daripada perlumbaan pilihan raya Presiden AS yang akan diadakan pada November 2024.

Pemimpin-pemimpin Republikan berkata, keputusan Biden berundur menunjukkan beliau berada di luar kewarasan kognitif untuk berkhidmat sebagai ­Presiden AS.

“Jika Biden tidak berupaya merebut jawatan presiden, beliau tidak lagi layak untuk ber­khidmat sebagai Presiden AS,” kata Speaker Dewan Perwakilan, Mike Johnson.

“Beliau perlu segera meletak jawatan. Ini kerana 5 November akan tiba tidak lama lagi,” tambahnya, merujuk kepada tarikh pilihan raya presiden.

Biden semasa mengumumkan pengundurannya bagaimanapun berkata, beliau akan terus menggalas jawatan Presiden Amerika sehingga penggalnya berakhir pada Januari 2025.

“Beliau berharap untuk menamatkan penggalnya dan me­nyampaikan keputusan yang ­lebih bersejarah untuk rakyat,” kata White House.

Pemimpin Republikan beramai-ramai membuat gesaan serupa kelmarin di samping melancarkan kritikan baharu terhadap Naib Presiden, Kamala Harris yang akan berpindah ke White House sekiranya Biden meletakkan jawatan.

Biden mengesahkan sokongan kepada Harris untuk menjadi calon Parti Demokrat seterusnya.

Pengerusi Persidangan Republikan yang juga wakil New York, Elise Stefanik membuat kenyataan seperti Johnson dan mengkritik keupayaan Biden untuk menggalas tanggungjawab sebagai Presiden AS.

“Beliau mesti segera meletak jawatan,” tegas Elise.

Pada masa sama, bekas Pre­siden AS, Donald Trump berkata, pemimpin Demokrat itu tidak layak untuk berkhidmat sebagai presiden dari awal lagi.

Senator negeri Montana, Steve Daines pula menyatakan bahawa menjadi Presiden AS ‘adalah pekerjaan paling sukar di dunia’.

“Saya tidak lagi yakin Joe Biden boleh melaksanakan tugas sebagai Komander negara ini dengan berkesan,” katanya.

Menurut Senator Oklahoma, Markwayne Mullin, Biden perlu dilucutkan jawatan secara paksa melalui Pindaan Ke-25 Perlembagaan AS. Kaedah penyingkiran itu bagaimanapun tidak pernah digunakan terhadap mana-mana Presiden AS sebelum ini.

Penyokong-penyokong Trump turut menggesa supaya undang-undang itu digunakan untuk menyingkirkan Biden.

Ramai penganalisis dan pakar politik telah menjangkakan bahawa Biden akan ‘tercicir’ daripada kempen pilihan raya kali ini.

Jawapan Biden yang tidak rasional semasa beliau dan Trump menyertai debat televisyen pada 27 Jun lalu telah mengejutkan rakyat AS. Orang ramai kini tertanya-tanya sama ada Biden mampu berkhidmat sebagai presiden untuk tempoh empat tahun lagi.

Sementara itu, pemimpin-pemimpin Demokrat di Kongres bimbang keadaan Biden itu akan menjejaskan peluang mereka untuk dipilih semula pada pilihan raya November ini.

Malah, penyumbang-penyumbang utama derma politik Demokrat mula mendesak Biden berundur sebagai calon tetapi tidak meletakkan jawatan.

Selepas tekanan terhadap Biden semakin meningkat sejak beberapa minggu kebelakangan ini, pemimpin-pemimpin Republikan juga bertambah lantang meminta beliau meletakkan jawatan.

Beberapa jam sebelum Biden mengumumkan pengundurannya, regu Trump iaitu Senator JD Vance berkata: “Tidak bertan­ding untuk pemilihan semula akan menjadi pengakuan bahawa Trump betul dalam penilaiannya selama ini. Biden tidak cukup cergas dari segi mental untuk berkhidmat.”

“Biden telah menjadi presiden yang paling teruk dan Kamala Harris sentiasa bersamanya,” tambah Vance.

Dalam pada itu, Biden Harris untuk menggantikan beliau sebagai calon Parti Demokrat dalam pilihan raya Presiden AS pada hujung tahun ini.

“Saya berbesar hati mendapat pengesahan Presiden AS dan niat saya adalah memenangi pencalonan Demokrat,” kata Harris dalam satu kenyataan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI