SEPANG- Protes yang tercetus di Bangladesh bagi menentang kuota tidak saksama dalam perkhidmatan awam disifatkan sebagai antara insiden paling mendebarkan pernah dialami pelajar Malaysia di negara itu.
Berkongsi mengenai pengalaman cemas itu, seorang pelajar Malaysia, Muhd. Faiz Jaafa, 25, berkata, ketegangan berlaku di Bangladesh khususnya di Dhaka menjadi antara kejadian paling mendebarkan sepanjang lima tahun berada di sana.
“Jika diimbas kembali, protes itu bermula sejak 8 Julai lalu dan terus memuncak sejak beberapa hari kebelakangan ini. Walaupun kawasan saya tinggal iaitu Mymensingh agak jauh dari Dhaka, tetapi kami juga melihat impaknya.
“Menerusi video dikongsi, kami dapat lihat anggota polis dipukul hingga cedera parah selain ada individu yang dicampak dari tempat tinggi, itu semua pengalaman yang mendebarkan,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 hari ini.
Muhd. Faiz merupakan salah seorang daripada 123 rakyat Malaysia yang dibawa pulang ke Malaysia hari ini dari Dhaka menerusi penerbangan AirAsia ekoran ketegangan yang memuncak di Bangladesh.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai cabaran selepas jaringan internet disekat di sana, Muhd. Faiz yang merupakan pelajar tahun akhir di Bangladesh Agricultural University berkata, komunikasi antara pelajar dan pihak kedutaan hanya boleh dibuat menggunakan talian tetap telefon sahaja.
“Bagaimanapun, kami bernasib baik berikutan sempat membuat ‘group’ untuk berbincang sesama pelajar sebelum jaringan internet disekat sepenuhnya.
“Jadi, kami sempat berhubung dengan kedutaan bagi berbincang tindakan seterusnya,” jelasnya.
Sementara itu, seorang lagi pelajar iaitu Iman Nur Aina Amirah Abdul Rahman,25, yang menuntut di Mymensingh Medical College berkata, mereka juga perlu saling membantu antara satu sama lain bagi memastikan keselamatan terus terjaga.
“Sebagai contoh, ada kawan saya tidak sempat untuk melunaskan bil elektrik dan apabila protes itu berlaku, mereka tidak dapat mengeluarkan duit di mesin ATM kerana sudah tiada.
“Jadi, kami membantu dengan membenarkan mereka untuk tinggal bersama berikutan bimbang perkara tidak diingini berlaku apabila tiada bekalan elektrik,” ceritanya. – KOSMO! ONLINE.