LALUAN mencabar pendakian Peringkat 4 di Bukit Fraser pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 terpaksa dibatalkan atas nasihat Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
Perkara tersebut didedahkan Ketua Pegawai Operasi LTdL2024, Emir Abdul Jalil selepas mendapat nasihat daripada pihak UCI untuk mengelakkan perlumbaan membabitkan cabaran menuruni bukit curam.
“UCI mengarahkan tidak ada laluan menuruni bukit yang curam berikutan kemalangan baru-baru ini membabitkan kematian pelumba Coop Repsol di Tour Austria. Jadi kita hanya bermula dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong pada Peringkat 4.
“Mereka menasihatkan kita agar cuba mengelakkan perkara ini (menuruni bukit curam) berikutan kemalangan yang bukan sahaja berlaku di Austria tapi juga di Perancis membabitkan pelumba beramai-ramai,” katanya.
Pelumba Norway berusia 25 tahun, Andre Drege meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan menuruni bukit dalam kelajuan tinggi sehingga memaksa perlumbaan peringkat akhir Tour Austria dibatalkan dan diganti dengan kayuhan yang didedikasikan buat mendiang.
Sebelum ini, LTdL mengumumkan pertukaran laluan Peringkat 4 dari Kuala Kubu Bharu ke Genting kepada Kuala Kubu Bharu ke Bentong sejauh 148.9 kilometer (km).
Ketiadaan Genting menyebabkan penganjur mengaktifkan laluan baharu dengan cabaran pendakian di Jalan Gap ke ke puncak Bukit Fraser pada ketinggian 1,250 meter.
Atas sebab keselamatan, UCI menuntut penganjur mencari laluan lebih selamat dan tidak mendatangkan risiko kepada para pelumba.
Saingan edisi ke-28 berprestij Asia itu dijadualkan berlangsung dari 29 September sehingga 6 Oktober depan dengan Pulau Langkawi kembali tersenarai yang turut menyaksikan perlumbaan julung kali di Sarawak dengan jarak keseluruhan merangkumi 1,227.2 km.