fbpx

Ladang getah terbiar dibangunkan semula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari (tengah) ketika melancarkan logo 100 tahun Penyelidikan Getah dan buku bertajuk Glossary of Classification Rubber, pada Hari Teknologi Lembaga Getah Malaysia 2024 di Akademi Hevea Malaysia, Sungai Buloh, Selangor, hari ini. Foto oleh SHIDDIEQIIN ZONKOSMO!

SUNGAI BULOH – Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bersama Lembaga Getah Malaysia (LGM) dalam usaha menyediakan sejumlah penoreh bagi membantu membangunkan semula ladang getah yang terbiar di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ketika ini kira-kira 420,000 hektar ladang getah terbiar yang sudah lama tidak diusahakan gara-gara tiada pekerja.

Katanya, jika sebelum ini ramai pekebun kecil mengusahakan sendiri ladang mereka namun, disebabkan faktor usia yang semakin meningkat, kawasan tersebut menjadi terbiar.

“Ini kerana banyak pekebun kecil dah tua, dah berumur dan tidak lagi buat kerja menoreh. Kalau nak menoreh, mereka tiada pekerja. Di sini kerajaan akan bekerjasama dengan LGM untuk mencari kawasan-kawasan kebun getah yang terbiar untuk kita uruskan semula dan sediakan pekerja-pekerja.

“Kalau tiada pekerja tempatan, kita akan cari pekerja asing untuk memohon (jadi penoreh). Kalau sebelum ini semua tak boleh, pekebun kena buat sendiri, yang sedia ada sudah tua, dan anak-anak pula dah keluar ke universiti dan tak minat buat kerja menoreh ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Teknologi Getah anjuran LGM 2024 di sini, hari ini.

Bercerita lanjut, Johari berkata, sekiranya ladang getah terbiar itu berjaya diselenggara semula, secara tidak langsung dapat mengurangkan kebergantungan negara terhadap import getah.

“Industri memerlukan banyak (getah). Kita akan lihat bagaimana kita boleh tolong realisaskan benda ini (majukan semula kebun terbiar) kemudian kena sediakan pekerja dan LGM boleh memantau untuk pastikan bahawa import getah negara kita boleh dikurangkan dalam tempoh masa tertentu.

“Kalau kita boleh keluarkan lebih banyak getah dalam jumlah 800,000 tan hingga 1 juta tan, kemungkinan besar kita tak akan import sebanyak itu.

“Sebab jumlah import kita buat pada tahun 2023, hampir mencecah 5.7 bilion. Tahun 2022 6.5 bilion. Jadi kalau kita dapatkan keluarkan getah-getah ini untuk digunapakai oleh industri kita yang sedang berkembang maju ini, maka kita boleh kurangkan import, secara tidak langsung pengeluaran duit kita keluar akan berkurang,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI