SELAYANG – Kementerian Pendidikan (KPM) bakal melaksanakan program Kolej Tingkatan Enam Premium yang dijangka pada tahun hadapan untuk memastikan lebih ramai pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih aliran Tingkatan enam.
Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, inisiatif itu akan diadakan secara silang kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) untuk beberapa program dalam usaha meningkatkan kualiti pendidikan Tingkatan Enam.
“KPM kini sedang melakukan perbincangan dengan KPT dan beberapa perkara akan diperhalusi serta diumumkan apabila semua peringkat penyelarasan telah selesai.
“Usaha ini bertujuan untuk memastikan kedudukan, pencapaian, peranan serta sumbangan pelajar STPM dalam bidang-bidang lain dapat kita berikan tumpuan.
“Semoga kerjasama ini kita dapat meningkatkan lagi kualiti pendidikan Tingkatan Enam,’ katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Terdahulu, Fadhlina menyempurnakan majlis penyampaian anugerah pelajar terbaik peringkat kebangsaan Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) dan MUET 2023 di Majlis Peperiksaan Malaysia di sini.
Fadhlina berkata, pihaknya sentiasa memberi tumpuan dengan memperbaiki dan menjenamakan semula Tingkatan Enam supaya menjadi antara pilihan utama pelajar lepasan SPM.
Katanya, KPM mahu melihat lepasan STPM terus diberikan pengiktirafan dan mendapat tempat bukan sahaja di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan, malah di luar negara.
“Kita mesti sentiasa berikan semangat kepada anak-anak lepasan STPM yang mana pengiktriafan ini sangat tinggi nilainya khususnya apabila mereka mendapat keputusan yang cemerlang,” katanya.
Sementara itu, ketika ditanya berkenaan pemberian elaun kepada pelajar Tingkatan Enam, Fadhlina berkata, perkara itu akan dibawa ke peringkat belanjawan tahun ini.
“Itu antara usaha kita untuk menjaga kebajikan pelajar dan inisiatif ini akan diteruskan termasuk membuat dan mengangkat idea atau cadangan ini ke peringkat belanjawan pada tahun ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE