JAKARTA – Sebuah video tular di media sosial Indonesia memaparkan perbuatan seorang lelaki tidur di tepi kubur isterinya dengan hanya beralaskan sejadah, lapor program berita Liputan6 kelmarin.
Dalam video yang dikongsikan oleh cucu lelaki itu di platform TikTok, dia yang hanya memakai baju T dan seluar pendek tidur berbantalkan lengan.
Dia dikatakan baru selesai membina pondok kecil di atas kubur isterinya.
“Jangan mengaku setia kalau belum sampai tahap begini,” tulis keterangan video tersebut.
Ketika dirakam, lelaki itu hanya tersenyum.
Menurut anak perempuannya yang bernama Tuwuh, bapanya itu membuat binaan pondok di atas kubur sebagai tanda kasih kepada arwah ibunya yang meninggal dunia pada tarikh ulang tahun perkahwinan mereka.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen daripada netizen.
“Pak cik ini tersenyum, sayang yang menangis,” kata seorang netizen.
“Sedihnya. Kalau bapa saya, belum pun 100 hari ibu meninggal dunia, dia sudah berkahwin lagi,” kata pengguna media sosial lain. – AGENSI