SUNGAI BULOH – Industri getah negara masih berpotensi untuk terus berkembang, sekali gus menjadi antara penyumpang terbesar kepada ekonomi negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, dengan adanya teknologi moden, industri getah sudah tentu dapat menjadi lebih produktif, efisien, dan berdaya saing.
“Industri getah merupakan satu industri yang signifikan kepada negara. Sejak 1930-an sehinggalah tahun 1990, Malaysia merupakan pengeluar terbesar getah asli dunia.
“Pencapaian ini disumbangkan oleh beberapa faktor termasuklah permintaan tinggi bagi getah,peranan pusat penyelidikan seperti Rubber Research Institute of Malaysia (RRIM) dan penggiat industri yang dapat memanfaatkan peluang yang ada di pasaran dunia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Hari Teknologi Getah anjuran Lembaga Getah Malaysia (LGM) 2024 di sini, hari ini.
Kata Johari, dalam usaha meningkatkan produktiviti getah, LGM telah membangunkan beberapa hasil penyelidikan.
“Antaranya adalah klon-klon keberhasilan tinggi dan berdaya tahan, teknik torehan yang lebih produktif, prosedur pemulihan kawalan penyakit pokok getah seperti pestalotiopsis, bahan perangsang lateks seperti stimulan RRIM Hydrobest dan banyak lagi.
“Aplikasi-aplikasi ini, jika digabungkan dengan Amalan Pertanian Baik (Good Agricultural Practices – GAP) dijangka dapat meningkatkan produktiviti getah di Malaysia.
“Sebagai contoh, pengurusan ladang pintar dapat memastikan operasi ladang yang sistematik dan teratur dengan penggunaan teknologi seperti sensor tanah dan dron untuk pemantauan ladang yang lebih efisien. Solusi seperti ini dapat membantu pekebun kecil meningkatkan hasil dan mengoptimumkan kos operasi,” jelasnya.
Jelasnya, selain memperkenalkan teknologi yang meningkatkan produktiviti, LGM juga menghasilkan produk getah yang berinovasi seperti High Damping Rubber Bearing (HDRB).
“Ia digunakan pada struktur bangunan ikonik seperti Jambatan Kedua Pulau Pinang untuk memberi perlindungan struktur gegaran gempa bumi, kedua adalah bahan sebatian getah kalis api (fire retardant) yang pertama di dunia untuk aplikasi dalam produk getah yang dipasang di Station (Underground) Canary Wharf di London.
“Produk terakhir adalah melibatkan penggunaan getah dalam pembinaan dan penyelenggaraan jalan raya (rubberised road),” katanya. – KOSMO! ONLINE