fbpx

Dewan Negara: Penyasaran subsidi diesel jana penjimatan sebanyak RM4 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Penyasaran semula subsidi diesel dijangka menjana penjimatan sebanyak RM4 bilion kepada Kerajaan sekaligus dapat disalurkan antaranya untuk penambahbaikan infrastruktur awam.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, secara amnya keberkesanan inisiatif Budi Madani sejak pelaksanaan penyasaran diesel pada 10 Jun dapat dilihat pada data yang menunjukkan pengurangan ketara jualan diesel dari stesen minyak.

Beliau berkata, pada awal Jun 2024, purata jualan harian diesel dari stesen minyak untuk seluruh Semenanjung Malaysia adalah 28.6 juta liter sehari, manakala awal Julai 2024, purata jualan harian diesel tersebut telah turun kepada 22.2 juta liter sehari.

“Ini merupakan pengurangan 6.5 juta liter sehari atau pengurangan 23 peratus jualan diesel dari stesen minyak Semenanjung Malaysia.

“Dapat disimpulkan bahawa sebelum penyasaran semula subsidi, sekurang-kurangnya 6.5 juta liter sehari telah disalah guna sama ada oleh industri atau diseludup ke negara jiran,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Senator Datuk Dr. Azhar Ahmad secara bersekali dengan pertanyaan-pertanyaan lain bagi tarikh yang sama iaitu daripada Senator Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar dan Senator Datuk
Abdul Halim Suleiman berkenaan isu yang sama iaitu pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel.

Dalam pada itu, Amir Hamzah memaklumkan kerajaan telah membelanjakan lebih RM80 bilion bagi membiayai keseluruhan subsidi, insentif dan bantuan sosial termasuk subsidi pengangkutan awam, pendidikan dan sektor agri-komoditi pada tahun 2023.

Katanya, daripada jumlah itu, perbelanjaan subsidi kepenggunaan adalah yang terbesar iaitu sebanyak RM50 bilion yang merangkumi subsidi petrol, diesel dan gas memasak, subsidi minyak masak, subsidi bil elektrik serta subsidi harga ayam dan telur ayam.

“Untuk makluman Yang Berhormat juga, untuk dua bulan pertama pelaksanaan penyasaran semula subsidi diesel terutamanya melibatkan BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi, kerajaan juga telah menyalurkan hampir RM50 juta kepada hampir 120 ribu penerima yang layak bagi menampung kesan kenaikan harga diesel,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI