KUALA TERENGGANU – Perbuatan derhaka seorang lelaki memukul ibu kandung dengan sebatang penyapu hingga cedera pada awal bulan ini berbalas apabila dia dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Hakim Mahkamah Sesyen, Mohd. Zul Zakiqudin Zulkifli memerintahkan demikian selepas tertuduh, Mohd. Fadzri Idzuan Mustapha, 37, membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, Mohd. Fadzri Idzuan didakwa mencederakan ibu kandungnya, Siti Rafiah Ismail, 70, dengan menggunakan sebatang penyapu di Kampung Tanggol, Kuala Berang, Hulu Terengganu pada pukul 7 malam, 6 Julai lalu.
Mahkamah menetapkan hukuman penjara enam tahun tersebut bermula tarikh tangkapan iaitu 7 Julai lalu. – KOSMO! ONLINE