PETALING JAYA – Buang yang keruh ambil yang jernih. Itu lembaran baharu pasangan duda janda, Datuk Seri Adnan Abu dan Adira Suhaimi yang mengakui sedang serius mahu kembali menyatu sebagai suami isteri.
Setakat ini, Adnan atau lebih dikenali sebagai Datuk Red, 46, sudah pun bertemu dengan keluarga Adira untuk membincangkan mengenai perancangan perkahwinan semula mereka itu.
Malah Adnan juga bersyukur apabila Adira dapat menerimanya semula dan memberi peluang kedua untuk memperbaiki rumah tangga mereka.
“Ya, saya dan Adira kembali bersama. Apa yang dilihat dalam siaran langsung sebelum ini memang kami telah berbaik.
“Syukur Adira memberi peluang selepas melihat perubahan saya. Saya juga sudah berbincang dengan keluarga Adira mengenai perancangan perkahwinan kami,” katanya.
Sebelum ini Adnan turut memberitahu dia sudah kembali berbaik dengan Adira menerusi siaran langsung menerusi TikTok selain mengatakan sudah lima hari bercinta.
Adnan juga memberitahu mereka sudah mempunyai tarikh sesuai bagi mengadakan majlis perkahwinan nanti.
“Kita ini hanya merancang dan Tuhan yang menentukan. Insya-Allah selepas raya Aidilfitri tahun depan kami akan berkahwin.
“Keluarganya juga ada menasihatkan kami untuk berkahwin semula. Lagi pun umur saya bukan muda lagi, jadi lebih baik saya kahwin saja dengan Adira semula.
“Buat masa sekarang kami masing-masing memberi fokus kepada usaha mencari rezeki dahulu,” katanya.
Adnan dan Adira mendirikan rumah tangga pada 24 April berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.
Bagaimanapun ikatan perkahwinan sembilan tahun itu berakhir dengan penceraian pada 24 April lalu.
Hasil perkahwinan, pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata, Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4, dan Ayob yang kini berusia setahun. – KOSMO! ONLINE