fbpx

91 murid SK Pulau Gaya keracunan makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mengesahkan seramai 91 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya mengalami keracunan makanan. - Foto MEDIA SOSIAL

KOTA KINABALU – Jabatan Pendidikan Negeri Sabah mengesahkan seramai 91 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Pulau Gaya mengalami keracunan makanan selepas perkara itu tular di media sosial, semalam.

Pengarahnya, Datuk Raisin Saidin, berkata semua murid berkenaan dikesan mengalami gejala keracunan makanan dan sudah diberi rawatan di beberapa hospital dan klinik sekitar ibu negeri.

“Insiden mula dikesan pada kira-kira pukul 12 tengah hari semalam apabila guru mendapati ada murid mengalami muntah-muntah dan beberapa simptom lain,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau menyatakan pihak sekolah seterusnya bertindak mengumpul maklumat murid yang terbabit dalam kes keracunan makanan itu dan membawa beberapa murid ke Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) di Likas.

Menurutnya, terdapat juga murid yang mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE) dan Klinik Kesihatan Luyang, manakala pihak sekolah memberhentikan pembekalan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) serta-merta bagi sesi petang.

“Sekolah juga menasihatkan ibu bapa dan penjaga agar membawa anak jagaan masing-masing untuk mendapatkan rawatan segera di klinik berhampiran sekiranya terdapat simptom keracunan makanan,” katanya.

Katanya, berdasarkan laporan dikumpul Unit Hal Ehwal Murid (HEM) Pejabat Pendidikan Daerah Kota Kinabalu (PPDKK), seramai 55 murid dirawatk di HWKKS, diikuti swramai 25 murid di HQE, Klinik Kesihatan Luyang (lapan murid), Klinik UTC Kota Kinabalu (seorang) dan dua lagi di Jeti SAFMA Kota Kinabalu.

Raisin berkata, status kesihatan murid ketika dirawat ialah pada tahap dua dan dalam pemantauan pihak hospital, manakala tiada kes tahap kritikal.

“Seramai 90 peratus murid dimasukkan ke hospital untuk pemantauan dan 10 peratus lagi dibenarkan balik ke rumah. Pihak PPDKK telah membuat janji temu dengan pasukan Pejabat Kesihatan Kota Kinabalu untuk menjalankan siasatan dan mengambil sampel di sekolah pada hari ini (23 Julai). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI