JOHOR BAHRU – Tiga individu ditahan bagi membantu siasatan kehilangan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun yang dilaporkan hilang ketika bermain di pusat perniagaan Eco Galleria 3, Taman Botani di sini, Sabtu lalu.
Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, individu terbabit terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita berusia 28 hingga 55 tahun.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek ditahan di kawasan Iskandar Puteri kira-kira pukul 1.30 tengah hari semalam.
“Perkembangan terkini kes kehilangan kanak-kanak berusia 6 tahun, Albertine Leo Jia Hui, polis telah melakukan tangkapan ke atas dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan.
“Mereka ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya dengan cara yang salah,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kumar berkata, kanak-kanak tersebut bagaimanapun belum ditemui.
Katanya, ketiga-tiga suspek akan direman esok di Mahkamah Majistret Johor Bahru pukul 8 pagi hari ini.
Kosmo! semalam melaporkan mangsa Jia Hui, 6, disedari hilang oleh kedua ibu bapanya yang sedang berniaga sempena festival Bon Odori di Eco Galleria, Iskandar Puteri. – KOSMO! ONLINE