SEPANG – Seramai 123 orang rakyat Malaysia yang berada di Bangladesh telah selamat menaiki penerbangan khas AirAsia AK76 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hazrat Shahjalal, Dhaka sebelum dijangka tiba di tanah air pada pukul 5.10 petang ini.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata, ketibaan rakyat Malaysia itu akan disambut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang akan mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Beberapa rakyat Malaysia turut memutuskan untuk kekal di Bangladesh. Antara mereka ialah pelajar tahun akhir dan rakyat Malaysia yang bekerja di Bangladesh.
“Mereka yang memilih untuk kekal adalah disarankan untuk terus berkomunikasi dengan Suruhanjaya Tinggi di Dhaka bagi menerima maklumat terkini dan sokongan jika perlu,” katanya tadi.
Jelasnya, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan serta memastikan keselamatan mereka terjamin.
“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka akan terus beroperasi seperti biasa dan memantau situasi dengan rapat, sedia bertindak dengan pantas terhadap sebarang perkembangan serta memastikan semua rakyat Malaysia Bangladesh mendapat maklumat dan sokongan yang diperlukan.
“Mereka juga telah menyelaraskan proses ini dengan kerjasama yang rapat daripada Kerajaan Bangladesh,” katanya.
Sehubungan itu, jelas Wisma Putra, Kerajaan Malaysia ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Bangladesh atas kerjasama baik yang telah diberikan dalam memastikan proses membawa pulang rakyat Malaysia dilaksanakan dengan berkesan. – KOSMO! ONLINE