PETALING JAYA – “Keluar peluh jantan Mat kali ni. Susah juga kerja JPN (Jabatan Pendaftaran Negara),” itu ‘luahan’ Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd. Noor Helmy Abdul Halem yang terlibat membantu seorang kanak-kanak lelaki orang kelainan upaya (OKU) untuk memiliki MyKad.
Terlebih dahulu menerusi video yang dikongsikan Noor Helmy, beliau bersama beberapa pegawai JPN dilihat hadir ke rumah keluarga kanak-kanak berkenaan bersama beberapa peralatan bagi tujuan tersebut.
Apa yang menarik perhatian, Noor Helmy tidak ketinggalan turut berhempas-pulas membantu petugas-petugas berkenaan mendapatkan cap jari dan gambar berikutan kanak-kanak itu sukar memberikan kerjasama.
Bukan itu sahaja, Noor Helmy juga sempat memberikan tip untuk melekakan kanak-kanak terbabit bagi memastikan proses berkenaan lebih mudah.
“Mengumpul maklumat penjaga. Persiapan kamera untuk ambil gambar. Tip tambahan, cari satu perkara untuk melekakan mangsa. Tanya ibunya apa yang dia suka, dia suka tali.
“Percubaan pertama ambil cap jari gagal. Kedua lulus. Untuk ambil gambar, percubaan pertama hingga keempat, gagal. Kelima lulus,” kongsinya di Facebook.
Menerusi video sama, Noor Helmy turut berkongsi momen sesi penyerahan MyKad kanak-kanak berkenaan pada 19 Julai lalu selepas beberapa hari ia diproses.
“19 Julai penyerahan MyKad. Semua gembira dan puas hati,” ujarnya ringkas.
Menerusi ruangan komen, majoriti orang ramai teruja dengan perkongsian beliau yang terkenal dengan keprihatinannya membela nasib rakyat tidak mengira latar belakang.
“Seumur hidup belum pernah jumpa YB (yang berhormat) segigih begini nak bantu rakyat,” komen Dhea Dhea.
“Kalaulah semua YB boleh turun padang begini, aku rasa tak ada orang jahat kat Malaysia ni,” celah seorang lagi pengguna.
“Terima kasih banyak YB mudahkan urusan anak istimewa,” ucap Raihan Rasli. – KOSMO! ONLINE