fbpx

Terperdaya auta lelaki hidup mewah di laman sosial 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

JOHOR BAHRU – Seorang kakitangan sebuah sekolah antarabangsa di sini berputih mata selepas wang simpanan sebanyak RM190,000 lesap kerana terperdaya dengan skim pelaburan mata wang digital palsu.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Mohd. Sohaimi Ishak berkata, mangsa seorang wanita berusia 50 tahun itu membuat aduan berhubung perkara tersebut, semalam.

Katanya, mangsa terperdaya dengan skim pelaburan itu setelah diperkenalkan seorang lelaki yang kelihatan hidup mewah dan dikenali melalui laman sosial Instagram.

“Suspek bertindak menawarkan mangsa pelaburan berkenaan dan turut menunjukkan graf keuntungan tinggi yang bakal mangsa perolehi sekiranya bersetuju untuk membuat pelaburan.

MOHD. SOHAIMI

“Tertarik dengan tawaran itu, mangsa telah memuat naik aplikasi pelaburan berkenaan dan membuat enam transaksi pembayaran antara 10 Jun hingga 16 Julai berjumlah RM190,000.

“Mangsa hanya sedar telah ditipu apabila diminta untuk membuat pembayaran tambahan bagi mengeluarkan sejumlah wang yang didakwa adalah keuntungan yang telah diperoleh atas pelaburan itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau berkata, polis turut menyiasat sama ada terdapat penglibatan ‘keldai akaun’ dan sekiranya didapati ada, pemilik akaun akan dikenakan tindakan undang-undang.

“Orang ramai diingatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terperdaya dengan sebarang tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan besar dalam tempoh waktu singkat,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI