JAKARTA – Seorang pemandu perkhidmatan e-hailing Go-Ride di Indonesia terkejut apabila pelanggan yang melakukan pesanan, meminta untuk menunggang sendiri teksi motosikal tersebut, lapor saluran berita Merdeka.com kelmarin.
Lebih mengejutkan, dia pula diminta menunggang motosikal lain untuk menemani wanita berkenaan.
Menerusi rakaman kejadian yang dimuat naik di platform Instagram oleh akaun @opabobz, pemandu itu diminta menemani pelanggan pulang ke rumah kerana dia takut pulang bersendirian.
“Wanita ini membuat pesanan di Go-Ride, tapi dia menunggang motosikal sendiri. Macam mana itu?,” katanya sambil ketawa.
“Dia minta saya mengekorinya dari belakang kerana takut pulang ke rumah bersendirian,” tambahnya.
Meskipun terkejut, pekerja itu tetap menemani pelanggannya dan mendapat wang tunai sebagai bayaran perkhidmatan.
“Terima kasih kerana menghantar saya pulang,” kata pelanggan itu.
“Semoga dimurahkan rezeki buat anda,” kata seorang netizen di ruangan komen pula. – AGENSI