PETALING JAYA – Membuka pekung sebagai pengajaran, pelawak Shuib mendedahkan pernah terjebak dalam aktiviti perjudian sehingga mengalami ketagihan.
Jelas Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 40, dia pernah dikepung ahli kongsi gelap selepas memenangi wang taruhan sebanyak RM68,000.
“Masa itu aku main dan menang sebanyak RM68,000. Bila sudah menang tiba-tiba tuan kedai macam tidak mahu bagi aku duit seolah-olah dia anggap aku menipu.
“Dia siap hubungi beberapa orang gengster datang ke kedai, ada dalam enam orang. Sampai sahaja mereka terus panggil ke bilik belakang tanya macam-macam perkara.
“Bila aku dengar sahaja dia cakap macam itu terus aku balas ‘kalau abang dah cakap macam itu maksudnya abang memang tidak mahu bagi duit ini. Tak mengapalah, saya gerak’,” katanya dalam sebuah audio siar (podcast).
Sejak kejadian tersebut, pelawak dan usahawan itu bertekad meninggalkan dunia kotor itu selain sanggup mendedahkan kerugian demi memuaskan ketagihan terhadap judi.
“Lillahitaala, aku cakap pada diri aku ini adalah kali terakhir aku main judi dan memang aku dah tak main lepas itu.
“Banyak duit sudah aku habiskan untuk main permainan itu dan aku pernah ‘bet’ (bertaruh) RM150 setiap pusingan.
“Dalam satu minit sebenarnya permainan itu boleh main sebanyak tiga atau empat pusingan. Jadi, bayangkan berapa ratus ringgit boleh dihabiskan dalam masa seminit?
“Bila aku main dulu, banyak dah aku rugi sampai tidak terkira berapa kerugian. Aku dulu punyalah tidak ada duit, sampai kering langsung,” jelasnya.
Menurut bapa kepada empat orang anak itu lagi, selepas sedar akan kekhilafan, kehidupannya lebih tenang sekali gus mampu menyimpan wang.
“Perbezaan dia masya-Allah, Allah nak bagi. Kadang-kadang aku rasa kau berjudi kau rasa puas, bila kau menang kau gempak.
“Namun, kehidupan kau masih susah. Bila aku berhenti, duit bukan kata boleh simpan, malah semakin banyak,” ujarnya lagi.
Shuib mendedahkan perkara tersebut dalam Dol’s Podcast yang dikendalikan dirinya bersama Shuk Sahar dan Fizie Roslan.
Sebelum ini, isterinya Watie Hanifiah turut mendedahkan pernah membuat pembedahan hidung sebanyak enam kali gara-gara diejek sejak di bangku sekolah. – KOSMO! ONLINE