fbpx

Pogacar cipta sejarah hebat tawan TdF

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
POGACAR (tengah) menjadi pelumba pertama berjaya menjuarai Giro d’Italia dan TdF dalam tempoh semusim sejak 1998. - AFP

NICE, PERANCIS – Impian pelumba sensasi Slovenia, Tadej Pogacar untuk melengkapkan gelaran ketiga Tour de France (TdF) menjadi kenyataan selepas menawan peringkat 21 awal pagi tadi.

Pelumba berbasikal 25 tahun itu mengekalkan kayuhan bertenaga di peringkat terakhir untuk muncul juara dan memenangi perlumbaan ujian masa pada hari terakhir.

Juara bertahan, Jonas Vingegaard dari Team Visma di tangga kedua keseluruhan selepas ketinggalan enam minit 17 saat (s) di belakang Pogacar.

Pelumba Soudal Quick-Step, Remco Evenepoel terpaksa akur menduduki tempat ketiga keseluruhan selepas ketinggalan sembilan minit 18s.

Kemenangan itu turut membolehkan Pogacar muncul pelumba pertama memenangi kejuaraan berganda Giro d’Italia dan Tour de France dalam satu musim sejak Marco Pantani melakukan pada 1998.

“Ia satu perjalanan yang mengagumkan. Satu pertarungan sengit dengan Jonas (Vingegaard), dan Remco (Evenepoel). Terlalu banyak insiden berlaku.

“Kami berada dalam generasi emas sukan berbasikal. Pertarungan dengan Remco, Jonas dan Primoz (Roglic) amat luar biasa. Kami perlu menggunakan kelebihan saat ini.

“Untuk meraih kemenangan berganda amat mengagumkan. Apabila saya menang Giro, sesetengah orang berkata ia akan menjadi penyelamat buat saya jika tidak menang TdF.

“Memenangi kedua-duanya meletakkan saya pada tahap yang berbeza,” kata Pogacar yang telah melakar kemenangan dalam enam peringkat perlumbaan pada edisi TdF kali ini. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI