fbpx

Pindaan RUU Perubatan akan dilaksana segera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dzulkefly (dua dari kiri) ketika hadir pada perasmian klinik CRRC pertama negara di IJN hari ini.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) perlu menyelesaikan beberapa isu berkaitan sebelum Rang Undang-Undang (RUU) Perubatan (Pindaan) 2024 dapat dilaksanakan.

Menteri Kesihatan itu menjelaskan, antara isu itu termasuk semakan kehakiman yang sebelum ini difailkan empat graduan latihan Parallel Pathway dari Royal College of Surgeons Edinburgh (RCSEd) selepas gagal mendaftarkan diri dalam Daftar Pakar Kebangsaan (NSR) dan empat kelulusan yang belum dimasukkan ke dalam Jadual 4 RUU berkenaan.

“Kementerian sememangnya komited melaksanakan RUU itu secepat mungkin, yang pada minggu ini dijangka dibentangkan di Dewan Negara.

“Kita ada beberapa isu berbangkit dan kita segera mengambil tindakan mengenainya. Bagaimanapun, kita mahu lakukan seberapa segera dan sebaik saja kita tahu mengenai garis masanya, kita akan maklumkan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Klinik Pengurangan Risiko Kardiovaskular (CRRC) di Institut Jantung Negara (IJN) hari ini.

Terdahulu, Dewan Rakyat pada minggu lalu meluluskan RUU Perubatan (Pindaan) 2024, yang bertujuan menambah baik peruntukan untuk melaksanakan proses kelulusan dan kepakaran pengamal perubatan.

Pindaan ke atas Akta Perubatan 1971 itu bertujuan memberikan kuasa kepada Majlis Perubatan Malaysia (MMC) untuk mengiktiraf kelayakan dan latihan kepakaran bagi tujuan pendaftaran pengamal perubatan dan pakar.

Dzulkefly sebelum ini berkata, RUU berkenaan akan menjamin penambahbaikan kepada kualiti dan kuantiti pakar perubatan yang akan dilahirkan negara, sama ada melalui program sarjana atau parallel pathway.

Latihan kepakaran baharu tempatan bagi kedua-dua program berkenaan perlu dinilai dan mendapat kelulusan MMC sebelum diiktiraf, dan penilaian dijalankan berdasarkan kepada standard yang diluluskan MMC bagi memastikan kualiti latihan kepakaran dapat dipelihara. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI