fbpx

Peserta PLKN 3.0 tidak akan lalui latihan intensif seperti tentera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Peserta Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 tidak akan melalui latihan ketenteraan yang bersifat intensif seperti diberikan kepada anggota tentera yang sebenar.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin sebaliknya, modul ketenteraan yang mencakupi 70 peratus daripada pengisian PLKN yang baharu ini, akan menekankan aspek-aspek seperti disiplin diri.

Ujarnya, ia merujuk kepada pengurusan masa, kebersihan, kepatuhan kepada peraturan, keupayaan untuk melakukan tugasan dalam berkumpulan serta ketahanan dalam melakukan sesuatu tugasan secara bertanggungjawab.

“Modul baharu ini akan turut melibatkan pendedahan dan penerangan berkenaan dengan dasar-dasar pertahanan negara dalam membentuk generasi muda yang berwibawa, matang serta berketahanan.

“Selain itu, penekanan sehingga 70 peratus modul ini adalah berasaskan kepada dapatan libat urus dengan pelbagai pihak yang memberi maklum balas tentang sikap dan perilaku golongan muda masa kini.

“Kita turut berhasrat menjadikan PLKN yang baharu ini sebagai satu medium mendedahkan tentang realiti serta keistimewaan kerjaya pertahanan,” katanya dalam sesi pertanyaan jawab lisan Dewan Negara, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Abdul Halim Suleiman, Senator Datuk Juhanis Abd. Aziz dan Senator Abdul Nasir Idris berkenaan cadangan pelaksanaan semula PLKN 3.0.

Dalam pada itu, Mohamed Khaled berkata, kementeriannya melebihkan elemen ketenteraan kerana ia adalah satu elemen atau pendedahan yang tidak boleh diperoleh sepanjang masa.

Beliau berkata, sebaliknya, elemen-elemen seperti cintakan negara, jati diri dan perpaduan, sememangnya sudah sering menjadi fokus dan diberikan perhatian di pelbagai peringkat termasuklah di sekolah.

Terdahulu, Kementerian Pertahanan melaksanakan semula PLKN dengan konsep dan format baharu untuk semua remaja warganegara Malaysia yang berumur 17 tahun dan ke atas mulai tahun hadapan.

PLKN yang baharu ini akan melibatkan tiga fasa bermula dengan Fasa Pra PLKN yang akan diperkenalkan di peringkat sekolah sebagai persiapan mereka menjalani latihan khidmat negara selepas berusia 17 tahun.

Program ini akan melibatkan para pelajar Tingkatan 4 semasa kegiatan ko-kurikulum dengan berpandukan Program Pembinaan Karakter Generasi MADANI (GenMADANI) yang dibangun dan disediakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.

Fasa Latihan asas di 13 buah Kem Askar Wataniah pula dijangka akan dimulakan seawal bulan April 2026, dan latihan asas di IPTA dan Politeknik dijangka bermula semasa pengambilan pelajar sesi Akademik 2026/2027. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI