fbpx

Penyertaan BRICS: Kerajaan akan guna pendekatan berbilang arah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tengku Zafrul dalam sesi Dewan Negara, hari ini. - Foto JABATAN PENERANGAN

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menggunakan pendekatan berbilang arah (multi-directional approach) dalam penyertaan organisasi antara kerajaan, BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) agar kepentingan negara sentiasa dijunjung.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Malaysia akan terus memastikan dasar luar negara yang bebas, berprinsip dan pragmatik berlandaskan nilai-nilai kesejahteraan, kemanusiaan, keadilan dan kesaksamaan.

Beliau berkata, ia dalam usaha untuk mengekalkan keseimbangan pembangunan ekonomi negara dan menjaga hubungan baik dengan semua rakan dagang terutamanya negara-negara kuasa ekonomi dunia.

Katanya, dalam masa yang sama, Kerajaan akan sentiasa mendukung Keluhuran Undang-Undang dan piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Ini adalah antara sebab utama Malaysia bukan sahaja mempertimbangkan penyertaan dalam BRICS, malah beberapa organisasi lain yang sesuai seperti Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) di mana Malaysia boleh memberikan sumbangan untuk pembangunan masyarakat antarabangsa.

“Ini terbukti menerusi penglibatan dan peranan aktif negara dalam pelbagai organisasi antarabangsa di peringkat serantau serta pelbagai hala termasuk ASEAN, Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), PBB, Organisation of Islamic Cooperation (OIC) dan sebagainya.

“Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan sentiasa menumpukan usaha untuk mengeratkan kerjasama ekonomi dengan semua negara-negara rakan dagang,” katanya dalam sesi Dewan Negara, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Noraini Idris yang bertanyakan tentang kewajaran Malaysia untuk menyertai gabungan ekonomi BRICS.

Noraini juga bertanya bagaimanakah penyertaan tersebut tidak merencatkan segala perancangan serta hubungan perdagangan global dengan negara-negara pro Amerika Syarikat memandangkan antara falsafah yang diketengahkan oleh BRICS adalah dedollarisation (penyahdolarisasi).

Dalam pada itu, Tengku Zafrul berkata, penyertaan Malaysia dalam BRICS adalah selari dengan usaha memacu agenda ekonomi untuk kepentingan negara dan rakyat.

Katanya, dengan pendekatan yang strategik dan seimbang, Malaysia dapat mengoptimumkan manfaat penyertaan dalam BRICS di samping memastikan kestabilan dan kesinambungan hubungan perdagangan global dengan semua rakan ekonomi utama negara.

“Keputusan penyertaan Malaysia dalam organisasi BRICS, merupakan satu langkah strategik untuk memperluaskan jaringan kerjasama ekonomi terutama dari aspek perdagangan dan pelaburan serta diversifikasi pasaran.

“Penyertaan negara dalam BRICS juga akan membuka akses kepada sumber bahan mentah kritikal tersebut yang amat penting dalam memastikan rantaian bekalan yang mampan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI