fbpx

Pengurusan berhemah kunci kelangsungan perniagaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BYOND GROUP kini mengoperasikan 17 anak syarikat dalam pelbagai sektor termasuk pengurusan perniagaan, kesihatan, teknologi dan konsultasi, dengan sokongan 120 orang kakitangan.

AMALAN pengurusan dan tadbir urus yang baik merupakan sesuatu yang perlu dititikberatkan oleh setiap usahawan, tak kira sama ada mereka merupakan peniaga mikro, kecil dan sederhana (PMKS), pempengaruh atau sekadar menjadi dropship.

Ia bagaimanapun sering diabaikan terutamanya oleh mereka yang baru mula berjinak-jinak dan kurang memiliki pengalaman dalam perniagaan.

Tidak hairanlah kita sering mendengar laporan bahawa pempengaruh tertentu yang bergelut akibat kegagalan menguruskan antara keperluan perniagaan yang paling asas, iaitu tanggungjawab untuk membayar cukai.

Soal pengurusan merupakan faktor yang paling dititikberatkan oleh Pengerusi Byond Group Sdn. Bhd., Abdul Basit Abdur Rahim dalam usaha membimbing usahawan meneruskan kelangsungan perniagaan, seterusnya mengembangkan operasi ke paras lebih tinggi.

Memposisikan dirinya sebagai ‘Guru Bisnes’, beliau memberitahu Byond Group kini telah menyokong pertumbuhan lebih daripada 100,000 usahawan di Malaysia.

Bertempat di ibu pejabatnya di Cheras, Kosmo! berkesempatan menemu bual anak muda berusia 35 tahun ini yang menceritakan tentang visi syarikat, selain pelbagai isu yang menyelubungi usahawan kini.

KOSMO!: Bagaimana cara Byond Group membantu usahawan?

Abdul Basit: Kami membantu usahawan PKS melalui latihan berbentuk kelas, program dan tunjuk ajar (mentoring).

Sejak 2015, Byond Group telah melatih lebih daripada 100,000 usahawan dengan memfokuskan kepada sektor perdaga­ngan, pendidikan, fesyen, kecantikan, perkhidmatan kesihatan serta makanan dan minuman (F&B).

Syarikat dan usahawan yang telah dibantu akan melihat perubahan dalam bisnes melalui segenap aspek termasuk jualan, automasi, simpanan, perkembangan dan pelaburan.

Pada masa sama, kami mahu memperluaskan kehadiran di pasaran supaya usahawan tahu kewujudan kami untuk memberi sokongan kepada mereka.

Pengerusi Byond Group Sdn. Bhd., Abdul Basit Abdur Rahim

Apa cabaran utama yang dihadapi usahawan hari ini?

Saya masih melihat soal pe­ngurusan sebagai isu utama dalam kalangan usahawan, terutamanya mereka yang baharu.

PKS bukan tak pandai buat duit, tetapi ramai yang tidak cekap menguruskan duit. Apabila mereka mula mencipta kejayaan kecil dan beroleh hasil, ramai yang membeli kereta baharu, rumah dan sebagainya. Sebab itu bisnes mereka sukar bertahan dan berkembang.

Selain itu, usahawan juga berdepan tekanan kos yang semakin tinggi seperti kenaikan kadar cukai perkhidmatan dan pengenalan pelbagai cukai serta keperluan baharu seperti e-Invois. Seolah-olah mereka ini di­serang dengan pelbagai pembaharuan dan tiada tempat untuk berpaut.

PKS hari ini memerlukan sentuhan baharu, model perniagaan baharu dan kaedah baharu untuk bertahan dalam ekonomi baharu.

Setelah hampir 10 tahun membimbing usahawan, apa perbezaan antara usahawan hari ini dengan masa lalu?

Saya melihat persekitaran perniagaan telah melalui tiga fasa berbeza. Fasa pertama ialah orang masih takut-takut, meskipun teringin untuk berniaga.

Saya kira fasa ini telah ber­akhir, tak perlu ajar orang supaya berani berniaga dengan lonjakan penggunaan media sosial. Ramai anak muda kini mahu menjadi pempengaruh, affiliate dan sebagainya.

Fasa kedua ialah mereka mula berniaga, dan kini kita dapat lihat kewujudan lebih ramai usahawan berbanding masa lalu. Kini kita sedang memasuki fasa ketiga, iaitu untuk usahawan mula mengembangkan perniagaan.

ABDUL BASIT berkongsi aktiviti syarikat bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad dalam sesi usahawan bersama Tun di Putrajaya.

Pasti ada yang mempersoalkan apa kelayakan saudara untuk mengajar?

Meskipun bimbingan perniagaan dan konsultasi merupakan antara perniagaan teras Byond Group, kami tidak hanya memberi tunjuk ajar, malah turut melaksanakan sendiri pelbagai jenis perniagaan termasuk dalam sektor teknologi, perdagangan,
kesihatan dan pengurusan korporat.

Ini memberikan kami kemahiran, pengetahuan dan pengalaman diperlukan untuk membimbing usahawan.

Pada masa ini, Byond Group memiliki 17 anak syarikat dan 120 orang kakitangan.

Apa visi Byond Group pada masa depan?

Dalam tempoh tiga tahun akan datang, kami menyasarkan untuk menggandakan jumlah usa­hawan yang dibimbing syarikat kepada 200,000 orang.

Selain itu, kami turut berhasrat untuk menyenaraikan anak syarikat kami, iaitu Byond Tech Global Berhad di Pasaran ACE Bursa Malaysia, de­ngan penilaian RM300 juta pada tahun 2027.

Syarikat ini memfokuskan kepada pembangunan perisian dan sistem. Antaranya ialah MySyarikat, iaitu sistem komprehensif yang membantu dalam pengurusan perniagaan. Ia kini telah pun mencapai lebih daripada 100,000 syarikat sejak diperkenalkan pada 2019.

Kami juga telah mewujudkan syarikat perdagangan di Indonesia dan berhasrat untuk memperluaskan kehadiran di sana.

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI