JOHOR BAHRU – Pemandu Perodua Alza warna merah yang terlibat dalam kes langgar lari hingga menyebabkan kematian seorang pejalan kaki di Kilometer 0.5 Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) awal pagi semalam, direman tiga hari.
Perintah reman itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar, Muhammad Fitri Mokhtar di Mahkamah Majistret Johor Bahru, di sini hari ini.
Suspek berpakaian lokap polis dan bergari diiringi anggota polis tiba di pekarangan mahkamah pada pukul 8.40 pagi bagi proses permohonan reman.
Permohonan reman dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Petang semalam, suspek berusia 38 tahun itu tampil ke balai polis bagi menyerah diri pada pukul 3.30 petang, hampir 12 jam selepas kejadian langgar lari itu berlaku.
Kejadian langgar lari kira-kira pukul 4.30 pagi di Kilometer 0.5 Lebuh Raya EDL menghala ke bandar raya ini mengorbankan nyawa seorang lelaki berusia 30an.
Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah, manakala ujian pernafasan pula negatif alkohol. – KOSMO! ONLINE