PETALING JAYA – Seorang peguam tampil memberikan pandangannya dan teguran kepada pasangan pempengaruh selepas mereka berkongsi pengalaman ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan wajah ceria baru-baru ini.
Peguam yang dikenali sebagai Kak Ratu berpandangan Alif Teega atau nama sebenarnya, Mohd. Hazalif Mohd. Hazani, 30 dan isterinya, Aisyah Hijanah Azhari, 26, tidak sepatutnya membuat siaran langsung dan berbincang mengenai perkara itu.
“Ini pandangan peribadi saya sebagai peguam. Alif dan Aisyah sepatutnya ‘zip’ (tutup) mulut mereka berkenaan layanan SPRM semasa direman.
“Tidak perlu buat ‘live’ (siaran langsung) dan berdiskusi tentangnya. Mungkin niat mereka untuk menunjukkan bahawa layanan SPRM adalah professional, tetapi tidak ya,” katanya menerusi video yang dimuat naik di TikTok semalam.
Peguam itu berkata, tindakan pasangan tersebut boleh menimbulkan salah faham orang ramai selain menganggap status orang yang disyaki (OYDS) adalah suatu yang tidak membebankan.
“Tanpa disedari kenyataan itu akan membuatkan orang lain berprasangka bahawa SPRM melayan OYDS terlalu baik dan tidak tegas dalam membuat siasatan terutama kepada orang yang disyaki melakukan jenayah.
“Kalau dah dilayan seperti sahabat baik siap bahagia di dalam bilik berhawa dingin, makan makanan yang pegawai SPRM makan adakah bermaksud mereka dilayan seperti VVIP? Apa gunanya reman?,” soal peguam tersebut.
Terdahulu, Alif Tega dan Aisyah Hijanah mendedahkan telah menerima layanan dengan begitu baik oleh pihak SPRM selain menyifatkan organisasi itu sangat profesional sepanjang mengendalikan kes mereka.
Tambah pasangan itu, mereka juga ditempatkan dalam tempat berhawa dingin dan diberikan makanan yang sedap oleh pegawai SPRM yang bertugas.
Sebelum ini, Kosmo! melaporkan SPRM menahan empat suspek termasuk pasangan tersebut kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam.
Bagaimanapun, kesemua suspek yang ditahan dibebaskan 16 Julai lalu selepas tempoh reman berakhir.
Empat suspek itu diperintah membayar wang jaminan RM100,000 setiap seorang yang mana RM20,000 perlu dibayar secara tunai manakala bakinya tanpa cagaran, masing-masing dengan seorang penjamin. – KOSMO! ONLINE