fbpx

Pecah amanah: Najib, Mohd. Irwan gagal lepas tanpa bebas kali kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Irwan dan Najib.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd. Irwan Serigar Abdullah gagal buat kali kedua dalam usaha untuk dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA) daripada enam pertuduhan pecah amanah harta Kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion.

Kali pertama permohonan itu ditolak pada 3 Mac lalu.

Pada prosiding hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin menegaskan tiada lagi penangguhan akan diberikan selepas ini dan perbicaraan akan berjalan pada 14 November ini.

Perbicaraan yang sepatutnya bermula pada September 2021 tertangguh beberapa kali antaranya bagi memberi laluan kepada kes penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi Najib.

Kali akhir perbicaraan ditangguhkan pada Jun lalu yang mana ia disebabkan beberapa dokumen penting yang dirujuk oleh saksi-saksi masih belum diserahkan oleh pendakwaan kepada pembelaan.

“Ini tarikh akhir (untuk mula bicara). Tiada lagi penangguhan, tiada lagi penangguhan, tiada lagi penangguhan. Tempoh tiga bulan memadai buat pendakwaan untuk menyerahkan segala dokumen,” kata hakim itu.

Peguambela, Datuk Seri K. Kumaraendran yang mewakili Mohd. Irwan memaklumkan masih terdapat ratusan dokumen yang masih belum diterima oleh pihaknya.

“Jumaat lalu, pendakwaan ingin menyerahkan tujuh jilid dokumen kepada kami tetapi serahan dibuat pada pukul 5.45 petang yang mana tiada siapa pun berada di pejabat ketika itu. Jilid-jilid tersebut diserahkan kepada kami pagi ini.

“Pagi ini juga, kami diberitahu oleh pegawai penyiasat melalui pendakwa raya bahawa terdapat dua jilid dokumen lagi akan diserahkan termasuk dokumen yang akan dinytahklasifikasi.

“Tetapi, timbalan pendakwa raya berkata mereka tidak tahu bila dokumen itu akan dinyahklasifikasikan. Jika pendakwaan bertegas perbicaraan diteruskan tanpa dokumen, anak guam saya tidak akan mendapat perbicaraan yang adil.

“Oleh itu, saya memohon kes ini DNAA, bila pendakwaan bersedia dengan dokumen yang diperlukan, anak guam saya bersedia menghadapi pertuduhan,” katanya.

Antara dokumen yang masih belum dinyahklasifikasi ialah dokumen berkaitan Minit Kementerian Kewangan, kelulusan Kabinet dan dokumen daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang menjurus kepada elemen utama pertuduhan pecah amanah yang dihadapi kedua-dua tertuduh.

Peguam bela, Muhammad Farhan Muhammad Shafee yang mewakili Najib turut mengguna pakai alasan sama untuk memohon DNAA bagi bekas Ahli Parlimen Pekan itu dan menyatakan terdapat kelewatan ketara dalam kes berkenaan.

“Seksyen 172B(4) Kanun Tatacara Jenayah memperuntukkan perbicaraan kes jenayah perlu dijalankan dalam tempoh 90 hari selepas tertuduh didakwa tetapi perbicaraan masih tertangguh sehingga kini dan bukan disebabkan terdapatnya kes lain.

“Pendakwaan menyatakan telah bersedia untuk memulakan bicara sejak 2020 jadi sepatutnya segala dokumen yang perlu dinyahkalsifikasi telah dilakukan. Sekiranya dokumen berjaya diserahkan pada Jumaat lalu yang mana ia dilakukan pada pukul 6 petang, kami kesuntukkan masa untuk meneliti dokumen, menunjukkan kepada anak guam kami dan membuat pembelaan sewajarnya.

“Hari ini,kami dimaklumkan pula masih terdapat dua jilid yang akan diserahkan yang mana kami tidak tahu ia berkaitan dokumen apa, bila akan diserahkan dan cara serahan akan dibuat,” hujah Muhammad Farhan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Saifuddin Hashim Musaimi yang mengendalikan pendakwaan hari ini bagaimanapun membantah permohonan DNAA atas alasan proses menyahklasifikasi dokumen bergantung sepenuhnya kepada kementerian yang terlibat dan pihak pendakwaan tidak mempunyai kuasa untuk menentukannya.

Beliau turut merujuk beberapa salinan surat dan emel kepada mahkamah yang telah dihantar kepada kementerian dan jabatan yang sepatutnya menyahdiklasifikasikan dokumen-dokumen yang diperlukan.

Pada 24 Oktober 2018, Najib dan Mohd. Irwan mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion, berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI