BENTONG – Selepas seminggu pencarian akhirnya remaja perempuan berusia 17 tahun yang hilang selepas keluar dari rumahnya di Felda Lurah Bilut ditemui hari ini.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, remaja berkenaan, Nur Aina Faqihah Shahrizan,17, ditemui oleh orang awam di stesen bas di bandar Triang, Bera kira-kira pukul 2.30 petang.
“Remaja berkenaan telah dibawa ke balai polis berdekatan dan akan dirakam percakapan sebelum diserahkan kepada keluarga.
“Keadaannya stabil dan kita akan buat pemeriksaan di hospital bagi keperluan siasatan,”katanya di sini hari ini.
Baru-baru ini Kosmo! melaporkan kes orang hilang semakin menjadi-jadi apabila tiga lagi kejadian terbaharu dilaporkan membabitkan tiga remaja perempuan di Petaling Jaya, Sungai Petani, Kedah dan Bentong, Pahang.
Dalam kejadian di Bentong seorang bapa dihimpit kebimbangan apabila anak perempuannya dilaporkan hilang dan gagal dikesan sejak Isnin lalu.
Shahrizan Mohd Daud,44, berkata, dia menyedari kehilangan Nur Aina Faqihah,17, selepas balik daripada kerja pada Isnin lalu.
Katanya, Nur Aina ada memaklumkan kepada adiknya dia hendak keluar dan selepas itu anak ketiga daripada tujuh beradik itu tidak lagi dapat dihubungi. – KOSMO! ONLINE