BATU GAJAH – Tindakan seorang lelaki mengganggu tunangan orang hingga menimbulkan ketakutan kepada wanita itu mengundang padah apabila suspek ditahan polis, Jumaat lalu.
Lelaki berusia 27 tahun itu diberkas pada pukul 11 malam ketika berada di tepi jalan dekat Taman Gading di sini.
Difahamkan, mangsa berusia 21 tahun itu telah diganggu oleh suspek sejak beberapa bulan lalu dengan dua laporan polis dibuat wanita itu pada April dan Mei lalu.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md. Noor Aehawan Mohammad berkata, gangguan terbaru dibuat suspek pada Jumaat lalu sekitar pukul 5.30 pagi ketika mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja.
Katanya, suspek telah meminta mangsa memberhentikan motosikal dan sebaik sahaja lelaki itu membuka visor topi keledar, wanita itu menyedari dia adalah lelaki sama yang sering mengganggunya di tempat kerja.
“Lelaki terbabit menyatakan cinta dan ingin memiliki wanita itu, namun mangsa memberitahu tidak berminat kerana telah bertunang dan tidak mempunyai perasaan terhadap suspek.
“Kejadian itu menyebabkan mangsa berasa takut kerana ia bukan gangguan kali pertama sebaliknya mangsa telah membuat dua laporan polis sebelum ini,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, pemeriksaan mendapati lelaki yang masih bujang itu mempunyai dua rekod lampau bersabit kes di bawah Sekyen 160 Kanun Keseksaan kerana melakukan gaduh gempar dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
“Suspek ditahan reman empat hari sejak Sabtu lalu hingga esok. Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan atas kesalahan menghendap,” ujar beliau. – KOSMO! ONLINE