ISKANDAR PUTERI – Ibu kanak-kanak perempuan yang hilang di Eco Galleria, di sini pada Sabtu lalu tidak menerima sebarang panggilan daripada mana-mana pihak yang meminta wang tebusan.
Situasi itu sekali gus menangkis dakwaan Albertine Leo Jia Hui, 6, diculik individu tertentu bagi tujuan peras ugut.
Leo Qieo Xin, 37, berkata, anaknya disedari hilang pada hari kedua Festival Bon Odori Johor yang berlangsung di pusat beli belah Eco Galleria pada pukul 8.30 malam.
“Sejak Jia Hui hilang, saya tidak mendapat sebarang khabar berita mengenainya. Setakat ini tidak ada sebarang panggilan yang meminta wang tebusan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Kerisauan seorang ibu memuncak apabila anaknya hilang ketika Festival Bon Odori di Eco Galleria pada Sabtu lalu masih belum ditemui.
Qieo Xin berkata, perasaannya semakin berdebar apabila tidak mendapat maklumat terbaharu daripada pihak polis berhubung usaha mengesan anaknya yang hilang itu.
Katanya, dua anaknya telah dipanggil untuk memberi keterangan pagi tadi.
“Setakat ini, saya tidak sebarang maklumat terkini daripada pihak polis. Polis juga memangil dua anak saya untuk memberikan keterangan,” katanya. – KOSMO ONLINE