PETALING JAYA – Pelakon Josiah Hogan bersedia melepaskan status warganegara Amerika Syarikat (AS) demi masa depan yang lebih terjamin bersama isteri dan anak-anak di Malaysia.
Kata Josiah atau nama sebenarnya, Josiah Padilla Hogan, 37, yang kini berstatus penduduk tetap Malaysia, proses mendapatkan status warganegara Malaysia sudah berlangsung selama empat tahun namun tergendala disebabkan beberapa perkara.
“Saya memikirkan tentang masa depan anak-anak yang membesar di sebuah negara yang berlandaskan agama Islam.
“Perkara itu menjadi keutamaan buat saya kerana hal sebegini tidak boleh dipandang remeh khususnya melibatkan tumbesaran anak-anak.
“Isteri saya juga berasal dari Malaysia dan saya sendiri bekerja dalam industri seni kreatif tempatan. Jadi secara tidak langsung, hal itu mempengaruhi keputusan saya untuk mendapatkan kewarganegaraan negara ini,” katanya ketika ditemui di tayangan perdana drama Barajiwa di sebuah pusat beli-belah di Shah Alam semalam.
Katanya, untuk melepaskan status warganegara AS, dia perlu membayar sejumlah bayaran selain menunggu keputusan daripada pihak kerajaan Malaysia.
“Saya mula membuat permohonan sekitar 2019 dan disebabkan Covid-19, perkara itu menjadi lebih lama. Namun, sekarang ini saya sedang menunggu keputusan daripada pihak Putrajaya kerana proses temuduga dan dokumentasi telah selesai.
“Status saya sekarang ialah penduduk tetap dan memiliki kad pengenalan merah. Bagi melepaskan kewarganegaraan AS, saya perlu membayar sebanyak AS$5,000 (RM23,411).
“Ibu saya juga sudah melepaskan kewarganegaraan AS dan kini sudah menjadi rakyat Malaysia. Tetapi prosesnya lebih mudah kerana mak berkahwin dengan orang tempatan,” katanya.
Josiah juga merakamkan ucapan kepada Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil kerana membantu dalam memberikan surat rekomendasi.
Untuk info, Josiah berkahwin dengan wanita tempatan bernama Nurul Hidayu Mohamed Nordin pada Mei 2013 dan dikurniakan empat orang cahaya mata.
Josiah turut mempunyai seorang anak lelaki bernama Irvine hasil daripada perkahwinan pertamanya. – KOSMO! ONLINE