fbpx

JIM dalam proses akhir tambah 40 unit autogate di KLIA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin ketika sidang akhbar selepas Sambutan Hari Imigresen 2024 di Putrajaya, hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen (JIM) dalam proses akhir bagi menambah sebanyak 40 unit sistem pagar automatik (autogate) melibatkan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan Terminal 2 dalam usaha mengatasi kesesakan di pintu masuk negara.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penambahan itu juga adalah bagi persiapan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun hadapan.

Jelasnya, kedua-dua lapangan terbang berkenaan kini mempunyai sebanyak 40 autogate yang sedang beroperasi.

“Kami telah berunding dengan Malaysia Airports Holdings Bhd. untuk penambahan autogate (di mana) kita perlu lebih ruang.

“Ketua Setiausaha KDN (Datuk Ruji Ubi) akan uruskan bagi perolehan (autogate), kami mengejar masa kerana tahun depan kita akan ambil alih (sebagai) Pengerusi ASEAN jadi terdapat banyak mesyuarat antarabangsa jadi yang perlu kami uruskan supaya tidak berlaku kekesakan di pintu masuk,” katanya.

Beliau bekata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan Sambutan Hari Imigresen 2024 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, bagi menangani isu sama di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang pihak JIM akan menambah bilangan autogate di lapangan terbang berkenaan bagi memudahkan urusan keluar masuk penumpang melalui negeri itu.

“Sebab sekarang ketibaan pesawat antarabangsa juga mendapat liputan media bila kesesakan berlaku,” ujarnya.

Sebelum ini, Saifuddin mengumumkan pengunjung dari 36 lagi negara berisiko rendah dibenarkan menggunakan autogate di semua pintu masuk negara yang memiliki kemudahan itu berkuat kuasa 1 Jun lepas.

Kemudahan itu antaranya membabitkan semua negara Kesatuan Eropah (EU), Bahrain, Qatar, Oman, Jordan, China, Kanada, Hong Kong serta Taiwan.

Sementara itu, beliau berkata penggunaan sistem kaedah Kod Respons Pantas (QR) di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) di Johor mendapat sambutan daripada pengguna.

“Bagi tempoh 1 Jun hingga 18 Julai lepas, seramai 197,901 penumpang bas di BSI dan 311,130 penumpang bas dan motosikal di KSAB telah menggunakan sistem QR tersebut.

“Inisiatif berkenaan berjaya mengurangkan tempoh menunggu di antara 70 hingga 80 peratus berbanding sebelum ini.

“Jumlah ini dijangka akan terus meningkat dan seterusnya dapat membantu mengurangkan kesesakan di pintu masuk Malaysia-Singapura,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI