KUALA LUMPUR – Menamatkan segala khabar angin, pelakon dan usahawan Fazura menafikan rumah tangganya dengan aktor, Fattah Amin bermasalah seperti didakwa ramai sebelum ini.
Menurut Fazura atau nama penuhnya Nur Fazura Sharifuddin, 40, sejujurnya dia tidak pernah mengetahui punca tercetusnya khabar angin tersebut yang mula bertebaran sejak beberapa bulan lalu.
“Sebenarnya saya tak tahu hujung pangkal daripada mana cerita ini bermula. Kawan-kawan mesej saya tanya hubungan dengan Fattah okey atau tidak.
“Saya faham peminat nak ambil berat sebab dah lama tak nampak kami bersama.
“Kalau ada spekulasi-spekulasi bertebaran di luar sana itu memang tidak betul. Saya dan Fattah okey,” katanya kepada Kosmo! Online pada majlis pelancaran koleksi
Merdeka 2024 PROSPEC KPM X FAZURA di sini, hari ini.
Bintang filem Pisau Cukur itu berkata, tindakannya mengehadkan perkongsian bersama suami adalah bagi memberi ruang untuk menyebarkan kesedaran tentang peperangan di Palestin ketika ini.
Baginya, memaparkan kemesraan keluarga dalam media sosial bukan keutamaannya ketika ini berbanding kesengsaraan yang dilalui rakyat di Palestin.
“Secara jujur saya memang terhadkan posting di media sosial. Saya terkesan melihat mereka di Palestin.
“Jadi saya rasa tak okey tunjuk kemesraan bersama keluarga dalam media sosial. Saya tak nak tunjuk kebahagiaan bersama anak dan suami,” katanya lagi.
Tambah Fazura, dia juga mempunyai satu akaun media sosial yang khas yang hanya memaparkan kehidupan peribadinya.
“Saya ada satu lagi akaun Instagram tapi ‘private’. Di situ sesiapa yang ikuti memang boleh lihat foto kami bersama.
“Boleh juga nampak perkembangan kami. Kalau ada spekulasi macam itu memang tak betul,” jelasnya.
Pelakon drama Hero Seorang Cinderella itu turut mengakui bahawa dia jarang berjumpa Fattah kerana jadual kerja suaminya yang terlalu padat.
“Jadual kerja kami berdua sangat sibuk dan jarang jumpa. Fattah keluar pagi balik malam, jadi memang kami tiada masa nak tunjuk kemesraan.
Terdahulu, tular khabar angin rumah tangga Fazura dan Fattah berikutan kurang memuatnaik foto bersama dalam media sosial sejak beberapa bulan lalu.
Hari ini, sebanyak 12 rekaan tudung bawal dilancarkan menerusi kolaborasi PROSPEC KPM dan Fazura yang juga bagi menyemarakkan sambutan Hari Merdeka ke-67 tahun ini
Antara motif dan corak yang digunakan dalam rekaan 12 tudung tersebut ialah Menara Berkembar Kuala Lumpur dan bunga raya.- KOSMO! ONLINE