fbpx

‘Jangan biasakan curi duit masjid, rasai pengalaman kena gari’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rita menempelak tindakan Alif Teega dan Aisyah Hijanah yang mendakwa pengalaman ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai pengajaran bermakna.

PETALING JAYA – Pelakon Rita Rudaini menempelak tindakan pempengaruh, Alif Teega dan Aisyah Hijanah yang sebelum ini mendakwa pengalaman ditahan reman Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai pengajaran bermakna.

Tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut, Rita atau Rita Rudaini Mokhtar, 48, bimbang sekiranya kenyataan tersebut memberi mesej salah kepada masyarakat seolah-olah ditahan pihak berkuasa atas sesuatu kes adalah perkara biasa.

“Kalau saya jalani penggambaran dulu kena gari dan masuk bilik akhir hukuman gantung, tidak boleh cakap itu sebagai satu pengalaman untuk saya.

“Nanti ada yang tak boleh fikir dan anggap benda kena gari atau kena tangkap ini seronok sehingga mahu cuba sebagai pengalaman,” katanya menerusi hantaran InstaStory.

Pelakon filem Mami Jarum Junior itu turut memaklumkan, individu yang sudah melakukan kesalahan dan secara tiba-tiba berbuat baik hakikatnya hanya ingin menyedapkan hati sendiri.

“Kadang-kadang nak tutup malu dan salah mulalah buat penerangan panjang-panjang. Contohnya tiba-tiba teringat buat doa selamat, berbakti kepada anak yatim.

“Mungkin boleh nampak baik, suci dan murni. Mulalah menunggang apa sahaja yang boleh ditunggang.

“Hati meronta-ronta nak buat siaran langsung, hantaran kata-kata suci dan macam-macam. Benda itu semua nak sedap dan puaskan hati sendiri,” ujarnya.

Dalam masa sama, ibu kepada dua orang anak itu menasihati individu yang melakukan salah untuk berdiam diri tanpa mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mempengaruhi orang lain.

“Memang susah kita nak puaskan hati orang dan tidak perlu pun. Jadi, lebih baik diam supaya tidak timbul isu-isu baru yang boleh buat orang marah, menjengkelkan atau salah faham.

“Jangan pula selepas ini ada adik-adik saja-saja curi duit masjid sebab nak rasa kena gari sebagai pengalaman katanya.

“Hati-hati bila berkata-kata. Tidak semua orang pandai hadam, jangan jadikan kena gari sebagai perkara normal,” jelasnya.

Rita mula bersuara selepas melihat video Alif dan Aisyah berkongsi perasaan ditangkap dan turut memuji SPRM kerana menjalan siasatan dengan profesional dalam siaran langsung TikTok mereka.

Sebelum ini, Kosmo! melaporkan SPRM menahan empat suspek termasuk pasangan berkenaan kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana derma awam.

Bagaimanapun, kesemua suspek yang ditahan reman dibebaskan 16 Julali lalu selepas tempoh tahanan reman berakhir. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI