PARIS – Penyerang skuad Olimpik Perancis, Alexandre Lacazette meletakkan harapan tinggi untuk membantu pasukan kebangsaannya menjuarai pingat emas pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024 sekali gus menamatkan penantian selama 40 tahun.
Sebagai rekod, Les Bleus pernah memenanginya sekali pada edisi 1984 dan kini memiliki peluang yang sangat cerah untuk mendominasi ‘ibu pingat emas’ apabila turun sebagai tuan rumah untuk penganjuran kali ini.
Lacazette yang disahkan menjadi kapten pasukan pada kempen kali ini turut percaya ketua jurulatih, Thierry Henry memiliki sentuhan rahsia untuk memastikan misi meraih pingat emas itu berjaya direalisasikan.
“Semua 18 pemain yang mewakili pasukan kali ini memiliki impian yang sama kerana kami mahu menghadiahkan kilauan pingat emas Olimpik di bumi sendiri. Saya lihat pemain semua sudah tidak sabar untuk memulakan kempen kali ini.
“Mengenai Henry, tiada apa lagi yang boleh saya katakan kerana beliau ialah legenda Perancis. Secara taktikal, dia mempunyai falsafah bola sepak moden tetapi dalam masa yang sama tidak terlalu memberi tekanan buat pemain,” katanya.
Saingan bola sepak temasya Sukan Olimpik adalah kejohanan bagi peringkat bawah 23 (B-23) tahun tetapi setiap pasukan dibenarkan untuk mendaftar tiga pemain lebih umur.
Selain Lacazette, Perancis yang diletakkan dalam Kumpulan A turut membariskan nama-nama besar seperti Jean-Philippe Mateta (Crystal Palace), Michael Olise (Bayern Munich) dan Loic Bade (Sevilla). – AGENSI