KOTA TINGGI – Hasrat mangsa lemas di Pantai Batu Layar di sini untuk mendirikan rumah tangga dengan pilihan hati pada hujung tahun ini tidak kesampaian.
Ibunya, Roha Robat, 52, berkata, Allahyarham Haqim Abdul Rahim Lee, 20, telah menyatakan sendiri hasrat hatinya itu untuk bernikah baru-baru ini.
Katanya, namun persiapan majlis masih belum dibuat kerana arwah bersama pasangannya baru merancang untuk membina ikatan itu.
“Haqim belum berkahwin lagi, namun dia ada rancang untuk bernikah hujung tahun ini dengan teman wanitanya, perancangannya mahu nikah terus tidak bertunang.
“Namun dia baru cakap-cakap sahaja persiapan pun semua masih belum buat lagi. Tidak sangka pula tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi di sini hari ini.
Tambahnya, jenazah anaknya itu akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Mount Austin.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan kegembiraan dua orang sahabat mandi-manda di Pantai Batu Layar di sini pagi tadi bertukar duka selepas hilang dikhuatiri lemas kelmarin.
Mayat Haqim dijumpai kira-kira pukul 7.45 pagi tadi oleh pihak bomba pada jarak 1,000 meter daripada lokasi terakhir mangsa dilihat.
Mayat rakannya, Muhammad Syahmi Zamzam, 26 ditemui 50 meter dari persisir pantai oleh pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 3.15 petang kelmarin. – KOSMO! ONLINE