JAKARTA – Penduduk sebuah kampung di Blitar, wilayah Jawa Timur menyumbat cili ke dalam mulut sepasang suami isteri selepas mereka mencurinya dari kebun milik seorang individu, lapor laman berita Okezone semalam.
Dalam kejadian pada malam Sabtu lalu, pemilik kebun dikatakan sudah menunggu lama untuk memetik cili bagi dijual ketika harga melambung tinggi.
Namun, dia terkejut apabila mendapati kedua-dua pelaku mengambil tujuh biji cili tanpa izinnya.
Berdasarkan sebuah video tular, penduduk kampung dilihat menyumbat cili-cili itu ke dalam mulut si suami sebelum mereka membuat laporan polis.
Menurut Ketua Polis Garum, Asisten Komisioner Polis Punjung Setyo, suami isteri tersebut ketika kejadian sedang mencari siput berhampiran kebun itu di sebuah sawah.
Namun, si isteri yang dikenali sebagai LW, 36, memetik tujuh biji cili tanpa meminta izin.
Menurut pelaku, dia merancang untuk memasak sambal menggunakan cili tersebut.
“Selepas berbincang, kes ini diselesaikan secara aman dan selepas mengambil kira suami isteri itu hanya mengambil tujuh biji cili,” kata Punjung. – AGENSI