fbpx

FAM resah AFC mula pantau Liga M

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PASUKAN yang berdepan masalah tunggakan gaji perlu mengadakan rundingan bersama MFL untuk mencari jalan penyelesaian terbaik.

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) mengakui risau jika kemelut tunggakan gaji dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) yang semakin parah ketika ini menarik perhatian Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi percaya badan induk bola sepak Asia itu sudah pasti memantau perkembangan semasa arena bola sepak tanah air apabila beberapa kelab didakwa gagal melunaskan gaji mengikut jadual.

Kata Yusoff, penyelesaian terbaik ketika ini adalah untuk mengadakan perbincangan dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi memastikan saingan liga tempatan kembali ke landasan yang tepat.

“Saya ada dengar AFC sudah mula memantau kemelut yang melanda liga kita. Ini mungkin peringatan daripada mereka untuk memastikan liga tempatan berjalan lancar.

“Meskipun isu tunggakan gaji ini bukan perkara baru kerana ia sudah berlarutan sejak beberapa tahun lepas, kami (FAM dan MFL) akan tetap mencari mekanisme terbaik.

“Perkara ini cukup penting agar liga kembali berada di landasan yang betul,” katanya ketika ditemui Kosmo!

Sebagai rekod, nama baik Liga M ketika ini ‘tercemar’ ekoran beberapa kelab yang beraksi di kempen Liga Super didakwa culas dalam membayar gaji pemain sehingga tertunggak beberapa bulan.

Antara pasukan yang didedahkan secara umum adalah Kuala Lumpur City (KL City) apabila kapten kelab yang juga tonggak naturalisasi negara, Paulo Josue didakwa sudah tujuh bulan tidak menerima sebarang imbuhan.

Semalam, Kosmo! turut melaporkan pasukan di peringkat akar umbi yang bersaing di Piala Presiden dan Piala Belia turut mengalami masalah tunggakan gaji.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI