TANJUNG MALIM – Dompet dan kad pengenalan dipercayai milik mangsa pembunuhan, arwah Nur Farah Kartini Abdullah ditemui di Sungai Trolak, Kampung Batu 4 di sini tengah hari tadi.
Difahamkan, kedua-dua bahan bukti tersebut dijumpai pada pukul 12.20 tengah hari beberapa jam selepas operasi pencarian dilaksanakan Unit Skuba (Unit Forensik) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Selain itu, kunci kereta pula ditemui pada pukul 11.20 pagi, namun tidak dapat dipastikan pemiliknya.
Jarak penemuan barangan tersebut tidak sampai 40 meter dari jambatan.
Keadaan air sungai yang agak cetek dan jernih sejak semalam memudahkan proses pencarian bahan bukti tersebut.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan polis menemui sebuah telefon pintar dipercayai milik Nur Farah Kartini, 25, yang dibuang dalam parit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor.
Suspek yang merupakan anggota polis berusia 26 tahun dibawa ke lokasi kejadian bagi membantu siasatan untuk mencari barang bukti di lokasi tersebut.
Nur Farah Kartini dilaporkan hilang sejak 10 Julai lalu selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan di Tanjung Malim dekat sini. Mayat gadis itu dijumpai di kawasan ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang. – KOSMO! ONLINE