KUALA LUMPUR – Konsert pengenalan Gimme The Mic Malaysia menyaksikan 10 daripada 30 peserta tersingkir malam tadi.
Keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian empat juri tetap iaitu Ajai, Yuna, Hael Husaini dan Bunga Citra Lestari yang merangkumi 70 peratus markah.
Manakala baki 30 peratus pula adalah hasil undian penonton menerusi aplikasi TikTok.
Konsert pertama itu turut menyaksikan Shaffiq Sahli berjaya meraih Anugerah Terpaling FYP Freedom Unleash sekali gus melayakkannya membawa pulang wang tunai RM1,000.
Sementara itu, Bunian pula mengungguli Anugerah Gimme Two Mee yang dinilai penaja utama dengan menerima wang tunai RM5,000.
Salah seorang 30 peserta adalah merupakan anggota kumpulan Forteen iaitu Amir manakala peserta lain merupakan penyanyi amatur.
Minggu hadapan kesemua peserta akan mempamerkan keupayaan vokal masing-masing menerusi persembahan bertemakan Siapa Aku.
Minggu ini, penyanyi dan pengacara Elly Mazlein atau mesra disapa Kak Lina Pom Pom tampil sebagai juri jemputan.
Sherry Alhadad dan Sean Lee pula bertindak selaku hos selain Ceddy Ang dan Daniel Cheang sebagai hos Live+.
Program pencarian bakat ini memberi peluang kepada penyanyi baharu dan pencipta kandungan muzik dalam media sosial menyerlahkan potensi diri dalam dalam bidang nyanyian.
Sepanjang program berlangsung, 30 peserta perlu mempamerkan kehebatan vokal dan bersaing meraih kedudukan teratas.
Lebih menarik, The Six anatara elemen diperkenalkan dalam program TikTok LIVE X Astro Gimme The Mic Malaysia iaitu enam kerusi khas yang menempatkan peserta dengan kedudukan teratas.
Pun begitu, kedudukan tersebut sentiasa berubah mengikut markah diberi juri profesional berdasarkan persembahan mereka.
Pada akhir konsert, enam peserta teratas yang ditentukan berdasarkan gabungan markah juri profesional serta undian tertinggi di TikTok LIVE bakal mengisi kerusi mutlak The Six.
Ini bermakna peserta dengan markah dan undian terendah akan disingkirkan dari program itu.
Juara TikTok LIVE X Astro Gimme The Mic Malaysia akan meraih wang tunai bernilai RM10,000 daripada Astro, kira-kira RM9,300 (AS$2,000) daripada Tiktok serta projek album single tajaan Astro dan Rocketfuel. – KOSMO! ONLINE