fbpx

Dana Wakaf Tunai Malaysia cecah RM12.8 juta setakat Mei lalu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Na'im

KUALA LUMPUR – Kutipan dana Wakaf Tunai Malaysia di bawah Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) mencatatkan jumlah sebanyak RM12.8 juta bagi tempoh sejak tahun 2022 sehingga Mei tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, kutipan ini hasil sumbangan wakaf daripada masyarakat dan pihak korporat sama ada melalui potongan gaji atau secara one-off.

Beliau berkata, kerjasama Persekutuan dan Negeri dalam pengurusan aset-aset tersebut (pembangunan atas tanah wakaf negeri) sepanjang tempoh tahun 2022 sehingga bulan Mei tahun ini juga telah memperoleh pendapatan kasar berjumlah RM22.8 juta.

“Pembangunan wakaf semakin mendapat perhatian umum khususnya dalam aspek pembangunan hartanah wakaf dan pengenalan produk- produk wakaf.

“Statistik kutipan wakaf tunai menunjukkan trend yang meningkat daripada RM67.19 juta pada 2020 kepada RM106 juta pada 2022.

“Walau bagaimanapun, statistik hasil wakaf harta tidak dapat disediakan kerana maklumat ini tertakluk kepada persetujuan dan kesediaan semua Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) untuk berkongsi data tersebut,” katanya dalam jawapan bertulis pada sesi Dewan Negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Senator Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya yang bertanyakan mengenai statistik hasil wakaf harta dan wakaf tunai sepanjang tempoh tahun 2022 hingga tahun 2024.

Dalam pada itu, Mohd. Na’im berkata, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) merupakan pemegang amanah bagi semua harta wakaf di Wilayah Persekutuan di bawah Seksyen 61 Akta Pentadbiran Undang-Undang (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 (Akta 505).

Ujarnya, sehingga bulan lalu, MAIWP telah menguruskan 89 lot (64.67 ekar) hartanah wakaf yang terdiri dari 64 lot hartanah wakaf khas dan 25 lot hartanah wakaf am.

“Dalam konteks pengurusan hartanah wakaf, MAIWP menguruskan 38 buah premis hartanah wakaf sedia ada yang terdiri daripada 23 buah rumah (landed), 1 buah rumah (non-landed), 3 buah lot kedai dan sebuah bangunan komersial.

Selain premis, MAIWP juga menguruskan 51 lot tanah yang terdiri dari 21 lot tanah kosong, 12 lot tapak masjid, sembilan lot tapak surau/madrasah, lima tapak perkuburan dan empat tapak sekolah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI