BARU menginjak usia 22 tahun, namun semangat juang dan kesungguhan gadis dari Klang, Selangor ini dalam memartabatkan bidang seni sungguh luar biasa.
Memiliki bakat dan minat dalam seni persembahan sejak berusia 10 tahun, jiwa Aqila Nabaha Khairul Azhar sangat dekat dengan bidang teater.
Berkongsi kepada iGen, anak sulung daripada empat beradik itu berkata, teater mengajarnya kemahiran komunikasi terutamanya dari segi penyampaian emosi, kata-kata serta disiplin.
“Sebab itu teater memanusiakan manusia. Dalam teater kita belajar macam-macam berkenaan hidup, emosi dan penghayatan.
“Dalam teater ini juga ada pelbagai elemen seperti lakonan, muzik, persiapan set dan sebagainya.
“Ia sentiasa menjadi satu pengalaman yang penuh kreatif dan berguna,” katanya.
Tambah pelajar Ijazah Sarjana Muda Bahasa Inggeris dengan Komunikasi (Kepujian), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu, sepanjang penglibatan dalam teater, dia telah memenangi banyak pertandingan dan memegang beberapa jawatan.
Antaranya, Johan Sketsa Doktor Muda peringkat Daerah dan tempat ketiga Sketsa Doktor Muda peringkat Negeri Selangor serta Presiden Kelab Anjung Kreatif Unisza (Kelab Teater UniSZA).
Selain itu, dia pernah bergelar Koordinator Persembahan Teater Perpaduan anjuran Jabatan Perpaduan Negara peringkat Negeri Terengganu bersempena dengan Minggu Perpaduan Negara dan Pengarah Teater Dayang Senandung serta Pentas Seni Teater UniSZA.
“Saya harap seni teater ini terus berkembang dan menjadikan saya mampu menjadi seorang seniman suatu hari nanti.
“Menerusi teater, saya mahu menyumbang kepada masyarakat melalui cerita- cerita yang mampu memberi impak positif kepada mereka,” katanya.
Ditebak mengenai perancangan selepas tamat belajar kelak, gadis yang mesra disapa Aqila itu memberitahu, jika tiada aral melintang, dia mahu bekerja dalam bidang produksi.
“Saya juga teringin untuk bekerja serta menimba lebih banyak pengalaman dalam bidang lakonan, mahupun produksi selepas tamat belajar nanti.
“Harapan saya tidak lain dan tidak bukan agar seni teater ini dapat diteruskan oleh generasi muda pada masa akan datang.
“Paling utama, seni teater juga memerlukan lebih banyak sokongan, dorongan dan pengiktirafan daripada pelbagai pihak untuk terus diterima serta dipertahankan sampai bila-bila,” katanya.