fbpx

Anak siapa tidur kedai dobi pukul 3 pagi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kanak-kanak tersebut bermalam di kedai dobi dari pukul 3 pagi hingga 5 pagi. - KhaoSod

BANGKOK – Seorang kanak-kanak lelaki di wilayah Chiang Mai mengundang perhatian pengguna media sosial kerana bermalam di sebuah kedai dobi pada waktu dinihari sekali gus mencetuskan kebimbangan ramai, lapor laman berita Thaiger.

Berdasarkan rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) yang dikongsikan pemilik kedai di laman TikTok, budak lelaki tersebut dilihat memasuki premis berkenaan sekitar pukul 3 pagi (waktu tempatan).

“Seorang kanak-kanak kecil datang tidur di kedai dobi sehingga pukul 5 pagi (waktu tempatan). Saya tidak tahu mengenai kehidupannya, namun saya gembira dia berasa selamat di sini,” kata lelaki bernama Botan itu.

Tambah Botan, keesokan harinya sekitar pukul 2 pagi (waktu tempatan), budak lelaki yang sama datang dengan ditemani seorang kanak-kanak lain yang lebih berusia.

Kedua-dua mereka tidur di atas lantai sehingga pukul 5 pagi (waktu tempatan).

Baton kemudian meluahkan kebimbangan dan hairan kerana tiada ibu bapa atau keluarga yang mencari kanak-kanak berkenaan pada waktu tersebut.

Selepas video itu tular, ramai netizen memberikan maklumat yang mengatakan bahawa kanak-kanak tersebut menjual bunga di sekitar pasar malam Kad Manee dan sering tidur di kaki lima.

Ada yang mendakwa bahawa dua kanak-kanak itu mempunyai kehidupan yang sukar, menyebabkan mereka melarikan diri dari rumah.

Botan kemudian berjaya mengesan sekolah tempat kedua-dua kanak-kanak itu belajar dan pengurusan sekolah berjanji untuk menyelesaikan isu tersebut. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI