PASIR PUTEH – Anugerah Perusahaan Graduan Terbaik Kementerian Pengajian Tinggi (APGT KPT) 2023 yang diterima membuktikan usaha Mohamad Amirul Hakim Mohd. Sanusi, 28, menghasilkan piza bermula di ruang dapur rumah tidak sia-sia.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dan Multimedia itu mewakili Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) sewaktu dinobatkan sebagai pemenang kedua APGT KPT dalam majlis keraian kegemilangan graduan keusahawanan di Kuala Lumpur pada Mac tahun lalu.
Menurutnya, jasa pihak SME Corp. Malaysia yang berkongsi ilmu perniagaan dan dana merupakan titik mula wujudnya AbePizza di Pasir Puteh Sentral.
“Penghargaan dan terima kasih juga kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) kerana banyak memberi tunjuk ajar dan dana kepada saya untuk memajukan perniagaan ini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Restoran AbePizza di sini, baru-baru ini.
Mohamad Amirul berkata, penglibatannya dalam industri makanan dan minuman (F&B) bermula sederhana, dari rumahnya yang bertempat di Kampung Alor Pasir, Pasir Puteh, Kelantan kira-kira lima tahun lalu.
“Bermula dengan hobi yang suka memasak, hasrat saya untuk bersaing dengan rangkaian piza antarabangsa tercapai apabila mampu menarik minat pelanggan untuk membeli piza tempatan.
“Saya mengusahakan sendiri pembuatan roti, perencah dan pelbagai keperluan lain tanpa bergantung kepada bekalan roti piza yang mudah didapati di pasaran,” katanya.
Jelas anak muda ini, restorannya yang bernaung di bawah syarikat MSA Group kini telah mencapai usia empat tahun dan menyajikan pelbagai pilihan piza dan burger.
Antara menu yang mendapat sambutan baik pelanggan termasuk piza Chicken Pepperoni yang berharga RM24, Chicken Supreme (RM22), Crazy Cheese (RM18), Cik B (RM28), Beef Supreme (RM24), Beef Pepperoni (RM26), Vegie Piza (RM19) dan Spicy Tuna (RM28) dengan saiz besar.
Selain itu, AbePizza turut menyediakan hidangan burger seperti Abe Burger yang berharga RM13, Spicy Korea Ayam atau Daging (RM7), burger Special (RM5.50), Triple Special (RM9), Double Cheese (RM9) dan Triple Cheese (RM12).
“Roti piza yang dijual di AbePizza memang gebu dan besar saiznya. Satu hidangan besar piza sesuai dihidangkan untuk tiga orang.
“Ramai pelanggan mengatakan AbePizza merupakan perniagaan piza tempatan pertama di Kelantan yang mampu menandingi jenama antarabangsa.
“Bezanya, AbePizza menawarkan menu yang menepati cita rasa Melayu, meskipun namanya hidangannya menggunakan Bahasa Inggeris,” ujarnya.
Mengimbau semula usaha sebelum memulakan perniagaan, Amirul Hakim berkata, dia sebelum ini pernah membuang sekitar lima kilogram gandum setiap hari, sepanjang beberapa minggu tempoh percubaannya untuk menghasilkan roti piza yang gebu.
Hari ini, dia bersyukur apabila tujuh pekerjanya dalam kalangan anak muda tempatan banyak membantu dalam mengendalikan perniagaan tersebut.
“AbePizza kini mampu menjual secara purata 300 piza setiap hari di restoran, selain jualan di trak makanan oleh peniaga tempatan.
“Kami turut menawarkan potongan harga makanan sebanyak 10 peratus pada Hari Merdeka, Hari Malaysia, Maal Hijrah dan musim perayaan tertentu kepada pelanggan,” katanya.