fbpx

90 peratus Orang Asli setuju Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkait isu tanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ramli (kanan) memberi penerangan mengenai Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkait isu pemilikan tanah kepada Orang Asli di Dewan Bonda Yah, RPS Kuala Betis, Gua Musang hari ini. - Foto oleh AIMUNI TUAN LAH / KOSMO!

GUA MUSANG – Dianggarkan hampir 90 peratus masyarakat Orang Asli bersetuju dengan Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkait isu pemilikan tanah yang akan dibentang di Dewan Rakyat selewat-lewatnya pada 2027.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Ramli Mohd. Nor berkata, persetujuan itu dicapai hasil sesi libat urus bersama masyarakat Orang Asli di tujuh lokasi Orang Asli.

Katanya, jumlah itu merupakan anggaran daripada 219,000 jumlah keseluruhan penduduk Orang Asli di negara ini.

“Kelantan merupakan lokasi ke tujuh bagi sesi libat urus bersama masyarakat Orang Asli yang akan memberi penerangan tentang Pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan isu pemilikan tanah masyarakat Orang Asli.

“Hasil daripada sesi libat urus itu, saya lihat 90 peratus bersetuju secara dasar dan ia merupakan jumlah yang tinggi. Kita cuba rungkaikan masalah itu demi kepentingan masyarakat Orang Asli supaya ada satu garis panduan yang jelas.

“Jika melihat daripada senarai tugas melibatkan kerajaan pusat dan kerajaan negeri, isu tanah terletak di bawah kerajaan negeri. Oleh itu, usaha idu memudahkan tuntutan masyarakat Orang Asli kerana ia melibatkan tanah adat mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Penghulu, Pengerusi dan Setiausaha JPKKOA Negeri Kelantan dan Terengganu tahun 2024 di Dewan Bonda Yah, Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, di sini hari ini

Mengulas lanjut, Ramli memberitahu, perkara itu akan dibawa kepada Majlis Peguam selepas semua sisi libat urus kemudian kabinet akan menyerahkan kepada Peguam Negara untuk pandangan seterusnya kepada Majlis Raja-Raja.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Cameron Highlands berkata, proses libat urus bersama masyarakat Orang Asli dan badan bukan kerajaan (NGO) sedang giat dijalankan dan mendapat maklum balas yang positif.

Katanya, libat urus pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi kepentingan masyarakat Orang Asli setakat ini dijalankan di Selangor, Kuala Lumpur, Pahang Barat, Perak dan Kedah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI