NYON – Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) melancarkan siasatan ke atas dua pemain Sepanyol, Rodri dan Alvaro Morata yang didakwa mengeluarkan perkataan berbaur penghinaan ketika perarakan trofi Euro 2024.
Perbuatan Rodri dan Morata menyanyikan lagu berbaur penghinaan itu dikatakan mengundang kemarahan Persatuan Bola (FA) Sepak Gibraltar yang seterusnya membuat laporan kepada badan induk bola sepak Eropah berkenaan.
UEFA mengesahkan bahawa tindakan dua pemain berkenaan berada dalam siasatan pihaknya dan mereka tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan sekiranya perkara itu benar seperti didakwa.
“Pegawai Disiplin dan Etika UEFA sudah dilantik bagi membuat penilaian terhadap kemungkinan pelanggaran Peraturan Disiplin oleh Rodrigo Hernandez (Rodri) dan Alvaro Morata ketika perarakan trofi Euro 2024 15 Julai lalu.
“Maklumat lanjut berhubung perkara ini akan diberitahu kemudian sebaik sahaja badan disiplin yang dilantik selesai melakukan siasatan atas dakwaan tersebut,” kata UEFA dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Gibraltar mengeluarkan satu kenyataan yang mengutuk perbuatan dua pemain tersebut yang mengatakan bahawa Gibraltar masih berada di bawah jajahan Sepanyol sehingga mengundang kemarahan rakyat negara itu.
“Gibraltar FA percaya apa yang dilakukan semasa perarakan itu adalah satu penghinaan dan provokatif. Kami menganggap sikap seperti ini tidak sepatutnya ada dalam bola sepak,” ujarnya. – AGENSI