KUALA TERENGGANU – Seorang kerani wanita yang masih bujang mengambil tanggungjawab menjaga tiga anak saudaranya berusia antara enam hingga 12 tahun yang menjadi yatim piatu setelah ibu bapa mereka meninggal dunia berturut-turut, baru-baru ini.
Rozilawati Mohamad, 43, berkata, sebelum meninggal dunia, adik kelimanya, Rohaida, 39, sempat berwasiat agar dia menjaga tiga anaknya, Nur Airisz Medinna Mohd. Azizi, 6, Nur Airisz Soffea, 9, dan Nur Airisz Izzara, 12, ekoran ketiadaannya.
Jelasnya, mereka kini berada di bawah jagaannya dan ibu, Zaibah Abu, 72, di Kampung Banggol Tuan Muda, Manir, Kuala Terengganu.
“Arwah adik (Rohaida) meninggal dunia akibat kegagalan organ di Hospital Sultanah Nur Zahirah 23 Jun lalu. Sebelum itu, arwah suaminya, Mohd Azizi Zaid, 37, telah meninggal dunia akibat dirempuh sebuah kereta di halaman rumahnya di Kampung Tasek, Marang, 11 Januari lalu,” katanya di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tengah, di sini hari ini.
Terdahulu, tiga anak saudaranya menerima faedah pencen penakat sebanyak RM330 sebulan sehingga berumur 21 tahun atau sehingga menamatkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda.
Dalam masa sama, keluarga Rohaida juga menerima faedah pengurusan mayat sebanyak RM3,000 daripada Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Terengganu, Farihah Che Husin.
“Ketiga-tiga anak yatim (Nur Airisz Soffea, Nur Airisz Izzara dan Nur Airisz Medinna juga akan dijadikan anak angkat Perkeso Terengganu,” ujar Farihah. – KOSMO! ONLINE