fbpx

‘Tak lagi mengejar, biar orang pula kejar saya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAKINAH enggan lagi berpaut pada dahan episod hitam lama dan nekad meneruskan kehidupan tanpa terlalu memikirkan tanggapan orang terhadap dirinya.

Seiring momentum karier, pelbagai kontroversi sama galak menghambat wanita berusia 35 tahun itu termasuk kenyataan sarkastik, berpakaian seksi selain deretan isu panas lain, namun semuanya ditepis sebagai sepak terajang anak seni.

Bertemu empat mata dengan personaliti yang dikenali ‘berani mati’ itu setelah agak lama tidak bersua, penulis sedikit hairan apabila menyaksikan satu sisi berbeza pada dirinya.

Jika sebelum ini dia sarat sifat gila-gilanya selain lantang bersuara, kini wanita tinggi lampai itu tampil matang yang sekali gus menyaksikan jiwanya seakan-akan lebih terisi dan tenang.

Gila bermusim

Tersenyum apabila disua soalan mengenai era kematangannya, Sakinah berkata, kegilaan dan kelantangan itu belum habis tetapi bermusim malah hanya berbuat demikian sekiranya perlu sahaja.

“Kalau mahu bercerita tentang kematangan, saya sudah lama ke fasa itu tetapi dalam masa sama saya selit juga kelantangan berkenaan sesuatu isu tetapi sekarang saya jarang berbuat demikian sebab sibuk.

“Ada juga yang tegur saya dah kurang aktif dalam media sosial tidak macam dulu. Tapi pada saya, bila kita terlalu lantang dan dedahkan kehidupan peribadi dengan harapan mahu tarik perhatian jenama atau klien, rasanya saya tidak perlu itu.

RUMAH TANGGA dibina berkali-kali retak di pertengahan jalan, Sakinah mengakui serik untuk berkahwin lagi tetapi tidak menutup pintu hatinya untuk sekadar menjalin hubungan cinta tanpa ikatan sah. | Penata Gaya NANA CHAH / Busana NAIM BUTEK

“Bermusim, saya akan lantang dan gila apabila perlu sahaja. Sekarang, saya sedang bahagia menjalani kehidupan apa adanya selain sibuk memenuhi deretan tawaran yang datang,” katanya kepada Pose.

Sedar dunia artis kini sarat dengan konten, pelakon drama Dr. Pontianak itu enggan menghentam mana-mana pihak selain masih menghormati keputusan orang lain yang memilih mencari sumber pendapatan dengan cara menghasilkan bahan kandungan.

Pun begitu, demi menjaga kesihatan mental dan enggan larut dengan negativiti yang boleh memakan diri, Sakinah memilih untuk tidak kerap menghabiskan masa di media sosial apatah lagi bercakap tentang masalah orang lain.

“Kalau mahu lantang hari ini pun saya boleh buat tetapi saya pilih untuk ‘mute’. Saya tak nak kacau mata dan fikiran saya dengan sesuatu yang saya rasakan buruk.

“Saya dah lalui semua benda, ibarat apa sahaja yang saya buat mesti kena kecam sebab saya bukan buat konten tetapi saya sendiri adalah konten. “Mahu buat kerja-kerja gila sebab nak perhatian, tak mengapalah, dah lama saya amalkan sifir itu.

“Kini saya selektif dengan apa yang saya nak promosikan dalam media sosial, dulu saya fikir saya tidak kacau orang tetapi kena refleksi diri juga adakah betul saya tidak mengganggu khalayak dengan perbuatan saya,” ujarnya panjang lebar.

Enggan terlalu larut dalam topik kematangan mahupun kelantangan, penulis sempat bertanya adik kepada pelakon, pelawak dan juga pengacara, Sharifah Shahirah itu soalan berbaur usikan tentang perihal cinta.

Serik berkahwin

Meskipun mengakui pintu hatinya terbuka luas dan sedia menjalin hubungan cinta, Sakinah bagaimanapun sudah serik berkahwin.

Katanya, dia hanya sekadar ingin dicintai tetapi enggan digari seseorang lelaki dek pernikahan yang entah bagaimana pengakhirannya.

ANAK sering dikecam dek rambut afro, Sakinah tenang dan akur bahawa golongan minoriti dan berbeza memang akan ditindas. | Foto IQBAL ROSLI

“Saya tidak serik bercinta tetapi berkahwin satu isu lain. Jujur saya cakap, andai saya kahwin selepas ini pun kerana masyarakat bukannya kerana Tuhan. Bagi saya pernikahan hanyalah sebatas sekeping kertas yang menghalalkan sesebuah hubungan.

“Saya tidak mahu digari lagi, saya mahu bebas dan bahagia hidup hanya bercinta tanpa kahwin. Biarlah fokus saya kepada anak saya sahaja tanpa memikirkan komitmen lain.

“Dalam situasi saya sekarang, kalau ada (jodoh) maka ada lah, andai tiada tidak mengapa. Saya tidak lagi mengejar sesiapa, biar orang pula yang kejar saya,” tuturnya serius.

Disoal ciri-ciri lelaki pilihan, aktres kelahiran Kuala Lumpur itu mahukan teman hidup yang berfikiran terbuka dan menerima dirinya seadanya.

KINI lebih tenang, Sakinah sudah melalui pelbagai sepak terajang dalam industri seni yang sedikit sebanyak mematangkannya dalam segenap aspek kehidupan. | Solekan ELMANDA ZUHAIRY @elmandazuhairy

“Saya memang nakal, bukan jenis yang sopan santun macam perempuan lain. Jadi susah untuk lelaki Melayu mahu dekati, mungkin mereka takut dengan penerimaan keluarga dan sebagainya.

“Saya tidak memilih tetapi dengan keperibadian saya sebegini, saya lebih selesa kawan lelaki asing yang berbeza budaya. Saya tidak cakap orang kita tertutup tetapi orang luar memang lebih terbuka.

“Kalau ada lelaki Melayu suka saya, saya okey sahaja, tetapi sekadar bercinta boleh, untuk berkahwin saya tidak mahu, itu sangat berat,” ujarnya lantang menoktahkan topik berkenaan.

Jangan ‘meroyan’

Diri dan puteri kesayangan sering berdepan ‘face shaming’ dan ‘body shaming’, Sakinah mengakui sudah lali dengan segala kecaman.

Katanya, dia bersedia dengan segala reaksi apabila memutuskan untuk memuat naik segala hantaran baik mengenai dirinya mahupun anaknya.

“Saya sendiri daripada dulu kena kecam dan apabila ada anak, dia pula menjadi mangsa disebabkan rupa paras dan rambut afro.

“Tidak menjadi kudis pun buat kami anak-beranak, memang kena akui golongan minoriti memang akan ditindas atas alasan orang itu berbeza dengan kebiasaannya.

“Jadi saya tak perlu meroyan sebab orang akan bercakap juga. Kalau enggan dikecam, jangan post dan jadi selebriti,” tegasnya seraya menutup bicara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI