fbpx

Sultan Ibrahim disayangi rakyat, ulangi detik bersejarah Johor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAKYAT Johor berbilang kaum menyaksikan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang disiarkan secara langsung di Taman Cempaka, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Rakyat Johor berbilang kaum dan pelbagai latar belakang teruja menyaksikan detik bersejarah Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan ­Agong Sultan Ibrahim yang di­siarkan secara langsung dari Istana Negara, Kuala Lumpur semalam.

Kira-kira 50 penduduk Taman Cempaka, di sini telah berkumpul seawal pukul 8 pagi bagi menyaksikan istiadat penuh bersejarah yang dianjurkan Jabatan Penerangan Johor.

Pesara kerajaan, A. Soaganathan, 69, berkata, peristiwa itu menjadi lebih istimewa apabila Sultan Ibrahim yang sebelum ini menaungi Johor ditabalkan selaku ketua negara, sekali gus menaungi Malaysia.

“Saya berasa bangga kerana Sultan Johor telah ditabalkan menjadi Agong. Sebelum ini baginda memimpin negeri jadi selepas ini baginda akan me­mimpin negara.

“Sebagai rakyat Malaysia saya yakin baginda mampu bawa Malaysia ke tahap lebih tinggi, lebih makmur dan sejahtera untuk semua pihak,” katanya ketika ditemui di Viewing Party yang dianjurkan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Taman Cempaka, di sini semalam.

Seorang lagi rakyat Johor, Thomas Yong Kim Sing, 58, memberitahu, dia amat berbangga kerana dapat sekali lagi menyaksikan detik istimewa itu seperti yang pernah disaksikan kira-kira 40 tahun lalu ketika Almarhum Sultan Iskandar Sultan Ismail menaiki takhta yang sama.

“Pada 1984, saya ketika itu masih remaja lagi tetapi saya ingat. Jadi detik ini berulang apabila Sultan Ibrahim ditabalkan selaku Yang di-Pertuan Agong, sama seperti ayahandanya.

“Sebagai rakyat Johor pas­tinya saya gembira kerana Sultan kita menjadi Agong. Ini satu peristiwa bersejarah yang bukan mudah untuk disaksikan. Saya yakin baginda akan pimpin Malaysia dengan baik,” kata pekerja swasta itu.

Sementara itu, seorang murid, Muhammad Qayyum Abdullah, 11, pula memberitahu, dia bangun seawal pukul 6 pagi untuk mengajak kawan-kawannya menyaksikan istiadat itu bersama-sama.

“Ini pertama kali saya saksikan peristiwa seperti ini. Rasa bangga juga menjadi rakyat Johor,” tambahnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI